19,890 bekas pesakit Covid-19 alami ‘Long Covid’

Beberapa langkah dilaksanakan KKM bagi memastikan bekas pesakit yang mengalami gejala Long Covid mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara. - Foto Bernama
Beberapa langkah dilaksanakan KKM bagi memastikan bekas pesakit yang mengalami gejala Long Covid mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 19,890 bekas pesakit Covid-19 yang discaj daripada hospital diberi janji temu untuk mendapatkan rawatan susulan di fasiliti kesihatan bagi tujuan pemantauan dan rawatan bagi gejala ‘Long Covid’ atau komplikasi jangka panjang akibat pandemik itu sehingga Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan pemantauan ke atas pesakit, terdapat lima gejala utama yang sering dihidapi mereka.

Beliau menjelaskan, lima gejala itu ialah kelesuan (78.9 peratus), sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.9 peratus), batuk (18.1 peratus), kesukaran tidur (14.5 peratus) dan anxiety (kebimbangan melampau, 10.4 peratus).

”Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit 'Long Covid’ yang mempunyai indikasi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Covid-19- Post Covid-19 Management Protocol dan memastikan akses perubatan yang mencukupi kepada golongan ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta kementeriannya menyatakan, apakah langkah untuk memastikan bekas pesakit positif Covid-19 yang mengalami 'Long Covid' mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara dan adakah kementerian mempunyai data mengenai jumlah 'Long Covid' melebihi 12 minggu setakat Oktober 2021.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, kebanyakan pesakit yang dijangkiti Covid-19 akan pulih dan kembali sihat namun sebilangan kecil akan mengalami keadaan dipanggil ‘Long Covid’.

Katanya, beberapa langkah dilaksanakan KKM bagi memastikan bekas pesakit yang mengalami gejala itu mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara.

“Antara langkah yang diambil adalah pesakit Covid-19 yang telah mendapatkan rawatan akan diberikan janji temu sejurus discaj daripada hospital terutama bagi yang mengalami komplikasi tertentu atau yang dijangkakan mengalami gejala ‘Long Covid'. Mereka akan diberikan janji temu sama ada di klinik pakar yang bersesuaian bergantung kepada diagnosa akhir mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, bagi pesakit yang turut mempunyai penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, diabetes dan sebagainya, mereka akan diminta untuk meneruskan rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti yang telah dijadualkan sebelum mereka dijangkiti Covid-19.

“Sekiranya mereka tidak mempunyai rawatan susulan biasa, mereka akan dirujuk kepada pakar tertentu dan diberikan janji temu susulan. Bekas pesakit Covid-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran secara 'walk-in' sekiranya mempunyai sebarang gejala.

“Bagi pesakit yang mengalami gejala dan simptom yang semakin teruk semasa dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera pula, mereka akan dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu, kementeriannya juga telah menggariskan strategi kesiapsiagaan dari segi kelengkapan logistik dan tenaga kerja di semua fasiliti kesihatan bagi memberikan akses perubatan yang mencukupi kepada semua bekas pesakit Covid-19.