Pengusaha ketam nipah rayu bantuan kerajaan

Razman (dua dari kanan) melihat ketam nipah yang diternak oleh Razin Pikry (dua dari kiri) di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di sini pada Selasa.
Razman (dua dari kanan) melihat ketam nipah yang diternak oleh Razin Pikry (dua dari kiri) di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di sini pada Selasa.
A
A
A

MANJUNG - Pengusaha ketam nipah di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di sini merayu bantuan kerajaan bagi mendapatkan kebenaran untuk menternak ketam nipah di kawasan paya berhampiran kampung berkenaan.

Razin Pikry Abdul Razak, 28, berkata, kawasan paya bakau seluas 10 hektar itu mempunyai potensi besar bagi penternakan ketam nipah yang akan membantu meningkatkan pendapatan nelayan setempat.

Menurutnya, percubaan menternak ketam nipah sejak empat tahun lalu di kawasan seluas 0.8 hektar membuahkan hasil dan haiwan akuatik itu berjaya dibiakkan dengan jayanya.

"Cabaran yang kita hadapi dari segi kelulusan tapak projek. Sebenarnya ternakan ketam nipah ini sangat berpotensi untuk dikomersialkan sebab ia tidak begitu meluas berbanding ternakan ikan sangkar dan udang.

"Jika kerajaan dapat memberikan kelulusan untuk menggunakan kawasan itu, kita akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain mendatangkan pendapatan tambahan kepada nelayan setempat," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di sini pada Selasa.

Hadir mengadakan lawatan ke kawasan penternakan ketam nipah itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan Pegawai Perikanan Daerah Manjung, Izharuddin Ariffin.

Razin Pikry berkata, projek penternakan itu boleh dicadangkan untuk dibuat secara berkelompok melibatkan 20 nelayan tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Kawasan penternakan ketam nipah yang dicadang untuk diperoleh kebenaran daripada kerajaan negeri.
Kawasan penternakan ketam nipah yang dicadang untuk diperoleh kebenaran daripada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penternakan ketam nipah itu dilakukan secara semula jadi di habitat asal haiwan tersebut tanpa memberikan sebarang implikasi alam sekitar seperti penebangan pokok bakau atau kemusnahan kawasan paya.

Katanya, tiada isu kemusnahan alam sekitar dalam mengusahakan penternakan ini kerana ia dilakukan secara lestari.

Sementara itu, Razman berkata, kerajaan negeri akan melihat perkara ini dengan teliti supaya industri ketam nipah boleh dikembangkan lagi.

Menurutnya, cabaran dihadapi disebabkan kawasan itu merupakan rizab sungai yang tidak boleh diberikan hak milik kepada pengusaha.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat kemungkinan untuk mewujudkan Komuniti Perikanan atau MyKP yang akan bersama-sama membangunkan kawasan itu.