Sila log masuk terlebih dahulu.

AKM 100 hari pertama pacu pembaharuan

Ismail Sabri cukup kental menghadapi cabaran getir dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau setelah menerajui kerajaan sejak Ogos lalu

A
A
A

Ismai Sabri beramah mesra dengan seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Malaysia 2021 di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, 7 November lalu.
Ismai Sabri beramah mesra dengan seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Malaysia 2021 di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur, 7 November lalu.

Mesyuarat jemaah Menteri pada 10 September lalu bersetuju agar semua menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat, Perdana Menteri ingin memastikan barisan Kabinet baharu beliau itu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang, serta mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari bagi setiap kementerian adalah bermula dari 1 September lalu iaitu pada hari pertama mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia jemaah menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam Teras Utama iaitu menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Sementara prestasi setiap jemaah menteri pula akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian atau jabatan, penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam.

Artikel Berkaitan:

Dengan segala pencapaian yang dikecapi oleh Ismail Sabri sepanjang 100 hari pentadbirannya membuktikan kewibawaan beliau dalam memacu Keluarga Malaysia ke arah landasan lebih maju pada masa akan datang.

Dalam menghadapi keadaan politik yang tidak menentu, kedudukan ekonomi yang tenat dan ancaman pandemik Covid-19 terhadap negara, Ismail Sabri cukup kental menghadapi cabaran getir dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau setelah menerajui kerajaan sejak Ogos lalu.

Lakar sejarah baharu

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri turut melakar satu sejarah baharu dalam politik Malaysia apabila kerajaan Persekutuan dan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI

MoU tersebut antara lain membabitkan enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen.

Persefahaman tersebut diharap dapat memulihkan keadaan politik dan ekonomi dalam masa sama mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Selain berjaya mengilhamkan konsep Keluarga Malaysia dan mengimbangi kestabilan politik, pentadbiran Perdana Menteri turut mencipta kejayaan inklusif dengan membentangkan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan,

Sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mengutamakan keterangkuman, kebersamaan dan tanda penghargaan, kerajaan mengumumkan peruntukan bernilai RM332.1 billion dalam Bajet 2022 yang merupakan satu lagi belanjawan tertinggi untuk memperkukuh pemulihan negara dengan kemakmuran perniagaan, di sebalik ketidakpastian global yang berterusan dan risiko peningkatan semula kes Covid-19.

Peruntukan bajet yang bersamaan dengan 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu hampir tiga peratus melebihi RM322.5 bilion yang diumumkan untuk Bajet 2021. Semua ini mampu dilaksanakan dengan jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun 2022 kepada RM234 billion.

RMK12 bersifat inklusif dan holistik

Dalam pada itu, RMK12 yang dibentangkan Ismail Sabri di Dewan Rakyat sebagai inklusif dan holistik, mendukung aspirasi seluruh Keluarga Malaysia.

RMK-12 mampu membina semula Malaysia dari segala impak sosio ekonomi yang tercetus akibat penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

Perancangan komprehensif ini akan memastikan Malaysia bangkit sebagai negara yang berpendapatan tinggi melalui pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

No Image Caption

/p> Kesejahteraan Keluarga Malaysia menjadi teras RMK-12. Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa tiada siapa yang akan terpinggir atau tertinggal di dalam pelaksanaan RMK-12 sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif.

RMK-12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam; membasmi kemiskinan tegar; merapatkan jurang pendapatan; memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun; mempercepat pertumbuhan hijau; dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

Visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2025 dengan purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan, membasmi kemiskinan tegar, pembinaan 500,000 rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40, menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan, mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig - segalanya akan memangkin anjakan transformasi negara.

Bagi memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia selama empat hari bermula 9 hingga 12 Disember ini, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan dan para pengunjung berpeluang memenangi hadiah istimewa yang disediakan.

Selain itu, terdapat pameran dan galeri, persembahan seni budaya, karnival kerjaya, diskaun saman Jabatan Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia, sukan rakyat, pendaftaran ke IPT dan pelbagai acara turut dianjurkan.

Luangkan masa anda sambil mengajak ahli keluarga dan sahabat handai untuk datang ke program ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pastikan memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan jaga jarak fizikal.

#100HariAspirasi

#KeluargaMalaysia

Layari Facebook dan Instagram @mykeluargamalaysia.