X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Nurul Izzah Izzati permata dalam pembikinan

Nurul Izzah Izzati bersama rakan sepasukannya selepas memenangi emas acara pecut berpasukan pada Piala Trek Asia 2021 di Suphan Buri, Bangkok baru-baru ini.
A
A

PELUMBA basikal junior negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri kini dianggap permata dalam pembikinan rentetan kejayaannya merangkul lima pingat emas pada Piala Trek Asia 2021 di Suphan Buri, Bangkok baru-baru ini.

Pelumba cilik kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mendominasi acara 500 meter ujian masa (TT), pecut individu, pecut berpasukan, keirin dan scratch sejauh 7.5 kilometer (km) selain membawa pulang pingat perak saingan 2km ujian masa perseorangan (ITT).

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, kejayaan di Suphan Buri menjadi bukti Nurul Izzah Izzati boleh pergi jauh jika digilap dengan baik.

“Saya berpendapat sekiranya seorang pelumba junior meraih 5 pingat emas termasuk dalam acara yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA seperti keirin dan pecut, maka dia wajar diberikan peluang untuk pergi lebih jauh.

“Dalam hal ini, talent identification memang penting dan kejohanan di Suphan Buri jadi bukti kehebatan Nurul Izzah Izzati,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Abu Samah berkata, meskipun Piala Trek Asia 2021 hanya disertai pasukan kebangsaan Thailand dan Malaysia serta pelumba kelab serta wilayah negara Gajah Putih itu, namun kejayaan Nurul Izzah Izzati harus diperakui.

“Saya telah meneliti semua acara yang disertai Nurul Izzah Izzati. Saya nampak pelumba junior Thailand juga tidak kurang hebat. Malah, Persatuan Berbasikal Thailand (TCA) menjelaskan mereka telah memilih pelumba junior yang kuat.

“Ini kerana TCA telah memperuntuk belanjawan yang agak besar untuk menyaingi pencapaian pelumba trek negara jiran khususnya Malaysia. Dalam hal ini, jangan kita mudah ketepikan pelumba berbakat besar seperti Nurul Izzah Izzati,” ujarnya.

Kejohanan tersebut turut menyaksikan pelumba veteran, Loh Sea Keong meraih gangsa acara scratch 15km manakala lima lagi pelumba wanita - Syarifah Nuraisyah Umairah Syed Yusoff, Phi Kun Pan, Nur Fitrah Shaari dan Anis Natasya Ahmad turut menuai pingat.

“Kejayaan meraih 5 pingat emas mesti diteliti. Pasti ada bakat yang tersembunyi. Kita wajar memberi peluang kepada beliau untuk mengembangkan bakatnya,” jelas Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA).

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Berbasikal Kedah (PBK), Omar Saad berterima kasih kepada PKBM kerana membenarkan Nurul Izzah Izzati merealitikan impiannya untuk bergelar pelumba kebangsaan peringkat senior.

“Saya sangat bangga dengan kejayaannya pada Piala Trek Asia 2021 di Suphan Buri. Saya berharap dia mampu untuk mengekalkan prestasi secara konsisten,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!