'Beri mereka tablet, komputer riba dan baiki pencawang internet'


Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mengurangkan jumlah keciciran pelajar di sekolah.

Beliau berkata, kerajaan dicadangkan supaya menyediakan modul yang mudah diakses kepada murid tanpa internet dan ekosistem cemerlang bagi memudahkan mereka belajar.

“Beri mereka tablet, komputer riba dan baiki pencawang internet di kawasan masing-masing. Perkasakan juga guru-guru yang berkhidmat untuk para pelajar.

“Ramai guru sanggup bekerja lebih masa, mengeluarkan wang poket sendiri dan merantau jauh ke rumah murid-murid bagi memastikan tidak ada keciciran murid.

“Jadi, bantu guru kita berkhidmat. Sediakan sokongan kewangan kepada sekolah-sekolah daif, beri kemudahan untuk guru bergerak dan tambah baik kemudahan guru di sekolah,’’ katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin melaporkan terdapat pelajar terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan persekolahan mereka akibat kesempitan hidup.

Sementara itu, Syed Saddiq memberitahu, krisis keciciran murid ini tidak hanya berlaku di luar bandar sahaja, sebaliknya kawasan bandar juga bergelut dengan masalah sama.

Menurut beliau, ramai keluarga miskin tidak mampu menyediakan kelengkapan untuk anak-anak mereka belajar dan kerajaan harus bantu menyediakannya.

Artikel Berkaitan:

“Beri program sarapan percuma kepada murid-murid untuk menarik mereka hadir ke sekolah, kemudahan pakaian dan alat tulis untuk mengurangkan beban keluarga miskin. Selain itu, tambah baik modul pembelajaran yang sesuai untuk diadaptasi oleh murid susah,” jelas beliau.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menegur kerajaan agar tidak terlalu fokus untuk melahirkan ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan.