Cadangan kupon untuk beli barang keperluan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

RAKYAT amat gembira dengan langkah kerajaan menangani peningkatan harga barang keperluan asas ketika ini menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM).

Lebih 50 jenis barangan keperluan asas termasuk produk pertanian dan hasil laut bakal ditawarkan pada harga 15 hingga 20 peratus lebih murah.

Ia memang memberi kelegaan kepada rakyat yang tertekan dengan peningkatan harga barang asas melambung tinggi ketika ini.

Ada banyak sebab dan alasan yang diberikan oleh peniaga mengenai kenaikan harga barang tersebut. Ada yang mengatakan ia berpunca daripada perbuatan orang tengah dan ada juga mengatakan faktor cuaca.

Malah, terdapat juga dakwaan mengatakan peningkatan harga itu peranan daripada pihak yang ada kepentingan.

Dengan peningkatan harga barang, maka terdapat peluang kepada pihak tertentu untuk mendapat permit import (AP) untuk membawa masuk barang-barang tertentu.

Jika benar ada pihak sengaja melakukan perbuatan tersebut dan mendapat keuntungan, maka pihak yang mempunyai bukti perlu tampil ke hadapan serta membantu pihak berkuasa kerana jelas ia adalah perbuatan jenayah.

Berbalik kepada usaha untuk mengurangkan harga barang, rakyat amat berharap agar kerajaan memperluaskan program PJKM.

Artikel Berkaitan:

Antara cadangan yang boleh dilaksanakan adalah menerusi kaedah pemberian kupon khas kepada golongan B40. Ia lebih mudah dan bersasar.

Dengan kaedah itu, rakyat yang sepatutnya mendapat bantuan akan dapat membeli barang keperluan mereka di mana-mana kedai pada harga murah dan berpatutan.

Pemberian kupon itu boleh dilaksanakan sehinggalah harga barang stabil semula.

Kerajaan juga boleh menggunakan data daripada Bantuan Keluarga Malaysia untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan menerima manfaat daripada pemberian kupon tersebut.

Justeru, kita amat berharap agar kerajaan yang ada hari ini terus mendengar denyut nadi rakyat dan membuktikan bahawa mereka benar-benar sebuah kerajaan terbaik.