Saya hormati jurulatih, rakan-rakan sepasukan - De Paula

De Paula ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain pada Selasa. -Foto: Football Association of Malaysia
De Paula ketika menjalani latihan bersama pemain Harimau Malaya lain pada Selasa. -Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme De Paula tampil menjelaskan 'cerita sebenar' di sebalik insiden yang berlaku ketika aksi menentang Kemboja di Stadium Bishan pada Isnin.

Menurutnya, insiden yang memperlihatkan dia membaling botol minuman di bangku simpanan sebaik dikeluarkan pada minit ke-75 telah dimanipulasi sehingga menampakkan dirinya 'buruk' di mata penyokong Malaysia.

“Sejak hari saya menyarung jersi Malaysia, saya amat menghargai dan menghormati harapan yang penyokong letakkan pada diri saya. Saya menerima sokongan yang cukup padu, terima kasih.

“Malangnya insiden yang berlaku semalam (Isnin) telah diputarbelitkan oleh seseorang yang meletakkan saya dalam situasi yang agak buruk. Hakikatnya adalah saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.

“Jujurnya, saya rasa agak kecewa kerana telah memberikan 100 peratus. Cuma kadangkala, mungkin kita rasa kita boleh buat sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan.

“Melihat ke depan, saya akan bekerja keras dan meningkatkan prestasi, kita semua mahukan kejayaan dan akan berjuang untuk memenanginya bersama,” tulisnya di laman sosial Instastory.

Dalam aksi menentang Kemboja, de Paula diturunkan dalam kesebelasan utama untuk menerajui jentera serangan, namun gagal menyumbat sebarang gol.

Artikel Berkaitan: