'Siapalah saya tanpa Peng Soon'

Peng Soon dan Liu Ying ketika di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu. - Foto Goh Liu Ying
Peng Soon dan Liu Ying ketika di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu. - Foto Goh Liu Ying
A
A
A

"PERJALANAN saya sebagai pemain badminton tidak akan lengkap tanpa Chan Peng Soon dan terima kasih atas segalanya,” kata pemain beregu campuran profesional negara Goh Liu Ying.

Itulah reaksi sepontan Liu Ying, bekas pasangan beregu campuran Peng Soon berikutan pemisahan mereka malam tadi.

Liu Ying berkata, Peng Soon merupakan tulang belakangnya dalam badminton sejak 13 tahun lepas dan menyatakan Peng Soon merupakan pasangan di gelanggang yang terbaik untuknya.

"Saya rasa memang semua orang ada hak untuk pilih jalan sendiri, saya hormati keputusannya dan beliau hormati keputusan saya.

"Ia suatu yang amat menyukarkan untuk berpisah dengannya, namun setiap perjalanan mempunyai pengakhiran dan mungkin pengakhiran ini baik untuk kami,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Rabu mengumumkan bahawa Peng Soon telah kembali menyertai mereka, hanya sehari selepas beliau berpisah dengan Liu Ying.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan itu menyatakan yang mereka telah mencapai keputusan untuk menyerap semula pemain berusia 33 tahun itu, dengan tujuan memperkuatkan jabatan beregu campuran dan memainkan peranan sebagai mentor untuk skuad remaja kebangsaan.

Ditanya mengenai perancangannya, pemain berusia 32 tahun itu berkata, beliau mahu berehat untuk sekurang-kurangnya dua bulan, sebelum membuat keputusan mengenai masa hadapannya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai seorang pemain profesional, Liu Ying akui yang akan menjadi satu kesukaran untuknya mencari penaja dan pasangan baharu, akibat kekurangan pemain badminton pada ketika ini, sekiranya beliau membuat keputusan untuk kembali ke gelanggang.

"Bukan mudah untuk mencari pasangan baharu, kita bukan macam persatuan yang mana anda boleh membuat keputusan untuk mengambil seorang pemain baharu sebagai pasangan anda,” katanya.

Sementara itu beliau percaya yang Peng Soon akan menjadi model teladan yang baik untuk pemain muda, sama ada sebagai pemain ataupun jurulatih di BAM

Selain berkongsi kejayaan terbaik di Olimpik Rio 2016, di mana mereka membawa pulang pingat perak, Liu Ying menyatakan dapat melihat Peng Soon bertukar daripada seorang yang bujang kepada seorang bapa merupakan suatu yang akan beliau ingati.

"Peng Soon sering beremosi setiap kali kami bermain di gelanggang, saya banyak kawal emosi dia ketika bermain, namun di luar beliau adalah seorang bapa dan suami yang baik,” katanya.

Malam tadi, Peng Soon dalam satu hantaran di Instagram menyatakan ia suatu yang sukar untuk mereka membuat keputusan untuk berpisah.

Sebelum itu semalam, Liu Ying dalam hantaran di Facebooknya berkata yang mereka telah menarik diri daripada Kejuaraan Dunia, enam hari sebelum ia bermula di Huelva, Sepanyol, dengan menyatakan faktor, usia, kecergasan dan peningkatan kes Covid-19 sebagai sebab utama penarikan diri mereka.

Penarikan diri itu membuatkan Jelajah Dunia Akhir BWF merupakan kejohanan terakhir mereka beraksi bersama, selepas mereka tewas kepada pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 8-21, 18-21 di separuh akhir.

Selain kejayaan di Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying telah memenangi 12 gelaran, selain pingat emas di Sukan Komanwel India 2010, pingat gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, dan menduduki ranking ketiga terbaik dunia pada 2013. - Bernama