Nelayan Vietnam 'rompak' gamat dicekup

Bot dinaiki lima nelayan warga Vietnam ditahan pada jarak 41.2 batu nautika dari muara Tok Bali pada Isnin.
Bot dinaiki lima nelayan warga Vietnam ditahan pada jarak 41.2 batu nautika dari muara Tok Bali pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Lima nelayan warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana 'merompak' hasil laut negara iaitu 50 kilogram (kg) gamat di perairan negeri ini pada Isnin.

Nelayan berusia 17 hingga 34 tahun itu ditahan pada jarak 41.2 batu nautika dari muara Tok Bali sekitar jam 10.40 malam.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, semasa melakukan rondaan, dua aset pasukan mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam 6.50 petang.

"Kita mengesan bot itu pada jarak 8.9 batu nautika dari sempadan negara Thailand. Menyedari diekori aset Maritim Malaysia, bot tersebut melarikan diri ke kawasan perairan sempadan Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, selepas hampir tiga jam, pihaknya berjaya menahan bot tersebut untuk membuat pemeriksaan.

Selain gamat katanya, Maritim Malaysia Kelantan turut menemui kira-kira 1,000 liter bahan api dan peralatan menangguk gamat dianggarkan bernilai RM400,000.

Syed Nor Adli berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka ditahan dan bot mereka dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985," ujarnya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun mengesahkan kesemua suspek negatif Covid-19.