Kerja pembersihan kawasan tanah runtuh selesai minggu ini

Mohd Zolkafly (kiri) adakan perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat, di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U) pada Selasa.
Mohd Zolkafly (kiri) adakan perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat, di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U) pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerja-kerja pembersihan kawasan tanah runtuh di Laluan FT 185, KM27.1 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Simpang Pulai dijangka selesai minggu ini.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, syarikat konsesi sedang bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan tersebut.

Menurutnya, selepas selesai kerja pembersihan itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menilai keadaan cerun berkenaan sebelum jalan tersebut dibuka kepada kenderaan.

"Kerja-kerja pembersihan yang sedang dilakukan oleh syarikat konsesi ketika ini dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga empat hari.

"CKC JKR akan menilai keadaan cerun tersebut dan memutuskan sama ada laluan itu selamat untuk dibuka kepada kenderaan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama agensi daerah Kuala Kangsar dengan Persatuan Penduduk Taman Muhibbah Jaya berkaitan isu banjir kilat di Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U), di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori.

Menurutnya, selepas keputusan penilaian mendapati kawasan tersebut selamat, satu lorong akan dibuka terlebih dahulu kepada kenderaan sebelum ia dibuka sepenuhnya.

Mohd Zolkafly berkata, buat masa ini orang ramai yang ingin ke Cameron Highlands perlu melalui Tapah sementara jalan di Simpang Pulai itu dibuka kepada kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Disember lalu, dua lelaki terkorban apabila kenderaan yang dipandu masing-masing tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan tersebut.

Mereka yang terkorban adalah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Mayat Chee Heng berjaya dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat dari lokasi runtuhan pada jam 9.55 malam sementara Muhammad Hafiz jam 10.50 malam.