Pengembara luar negara perlu jalani ujian Covid-19 enam hari

Pengembara dari luar negara termasuk bagi kategori Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) perlu jalani ujian Covid-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia. - Gambar hiasan
Pengembara dari luar negara termasuk bagi kategori Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) perlu jalani ujian Covid-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengembara dari luar negara bagi kategori Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara dan darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan One Stop Centre (OSC) untuk pelawat perniagaan jangka pendek, perlu menjalani ujian Covid-19 selama enam hari selepas tiba di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keperluan itu berkuat kuasa esok dan merupakan tindakan pengukuhan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi mencegah kemasukan dan penularan varian Omicron ke negara ini.

“Pengembara kategori tersebut perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan di Malaysia, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, keempat dan keenam selepas ketibaan dan melakukan ujian RTK-Ag (profesional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

“Bagi pengembara LITB, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas keluar dari Pulau Langkawi. Semua keputusan ujian perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan mengenai tindakan pengukuhan pencegahan dan pengawalan Covid-19 bagi pengembara dari luar negara pada Selasa.

Selain menetapkan pengembara daripada kategori tersebut perlu lengkap vaksinasi, Khairy berkata, mereka juga dikehendaki melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, menggantikan prosedur terdahulu yang menetapkan 72 jam sebelum berlepas.

Khairy memberiahu, bagi pengembara dari lima negara yang melaporkan penularan varian Omicron dalam komuniti iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Norway, mereka juga perlu melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan perlu memakai peranti pengesanan digital sepanjang tempoh kuarantin wajib.

Keperluan melakukan ujian RT-PCR dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan pemakaian peranti pengesanan digital semasa kuarantin wajib juga terpakai bagi pengembara (warganegara dan pemegang pas lawatan jangka panjang) dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara sebelum ini.

Menurut Khairy, tindakan pengukuhan yang dilaksanakan KKM itu akan disemak dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Sehingga semalam, sebanyak 43 negara telah melaporkan kes Covid-19 jangkitan varian baharu Omicron dengan lapan daripadanya dikenakan sekatan perjalanan sementara bermula 27 November lepas melibatkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi. - Bernama