X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

100 hari: Tarif elektrik hijau, pemuliharaan harimau Malaya pencapaian KeTSA

Takiyuddin Hassan
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancaran inisiatif Tarif Elektrik Hijau (GET) antara lima pencapaian Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Menteri berkenaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pencapaian lain adalah Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih NEM NOVA (Net Offset Virtual Aggregation), inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan Harimau Malaya, pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) serta pengurusan Tanah Persekutuan yang belum dibangunkan.

“Dalam tempoh 100 hari, saya memilih antaranya pengurusan harta pusaka kerana ia akan banyak membantu rakyat khususnya pasca pandemik ini, rakyat masih dalam proses pemulihan dan mendapat sambutan yang baik.

"Dalam hal (pengurusan) pusaka ini kerajaan beri kemudahan kepada rakyat,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini: Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KeTSA terbitan Bernama TV pada Selasa.

Mengenai pengurusan Tanah Persekutuan yang belum dibangunkan, beliau berkata, KeTSA telah menggiatkan usaha bagi menawarkan kepada orang ramai untuk memajak atau menyewa lot tanah berkenaan dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, seramai 312 penyewa lot tanah berkenaan dicatatkan pada tahun ini dan terdapat sebanyak 1,444 lot tanah kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang belum dibangunkan setakat Selasa.

“Saya menekankan kepada pegawai KeTSA supaya memberi keutamaan kepada graduan (siswazah) yang belum mempunyai pekerjaan, yang tidak mempunyai modal besar dan tidak mempunyai tempat, kita beri sewa (lot tanah) dengan kadar yang munasabah.

"Saya juga menetapkan di KeTSA untuk memberi keutamaan kepada rakan-rakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU), yang memerlukan tanah-tanah untuk digunakan sebagai premis perniagaan. Walaupun ini tanah kerajaan tidak dibangunkan, kita manfaatkan dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Takiyuddin berkata, inisiatif GET selari dengan hasrat kerajaan mengurangkan karbon dan program tersebut mendapat sambutan baik daripada syarikat RE100 yang menggunakan tenaga boleh baharu (TBB) pada kadar 100 peratus.

Inisiatif ini membolehkan pengguna domestik dan industri di Semenanjung memilih untuk beralih kepada penggunaan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana dari sumber loji jana kuasa solar dan hidro mulai 1 Januari tahun depan.

Menurut Takiyuddin, hasil kutipan penjualan GET akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan agenda dan inisiatif pembangunan TBB negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!