Sabah, Petronas meterai CCA bangunkan industri minyak, gas

Hajiji Noor bersama Tan Sri Mohd Bakke Salleh (belakang, kanan) menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah. -Foto Bernama
Hajiji Noor bersama Tan Sri Mohd Bakke Salleh (belakang, kanan) menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Selasa memetrai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dalam usaha membangunkan industri minyak dan gas tempatan.

Perjanjian tersebut melakarkan lembaran baharu mengenai kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri dan Petronas dalam membangunkan industri itu, ia ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika berucap pada majlis yang bertempat di Menara Kinabalu pada Selasan berkata, CCA adalah dokumen paling penting antara Sabah dan Petronas sejak 16 Jun 1976 apabila perjanjian pembayaran tunai royalti dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dengan syarikat minyak tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri iaitu SMJ Petroleum Sdn Bhd hasil daripada CCA yang dimeterai antara kerajaan Sabah dengan Petronas.

“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas di Sabah. Sejajar dengan terma serta syarat CCA, kerajaan negeri berhasrat untuk menubuhkan syarikat milik penuhnya untuk terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas.

“SMJ Petroleum Sdn Bhd akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan negeri sedia ada bagi memastikan terma serta syarat CCA berjaya dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, satu Jawatankuasa Bersama telah ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk membincangkan penglibatan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara kerajaan Persekutuan, negeri dengan Petronas.

Katanya, kerajaan Sabah dan Petronas turut mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bermula 8 Oktober lepas, selain beberapa mesyuarat sebelum CCA dimuktamadkan yang sekali gus menunjukkan kerjasama kedua-dua entiti dalam membangunkan industri minyak dan gas di Sabah.

Artikel Berkaitan:

Jawatankuasa Bersama telah diadakan pada 1 Disember dengan kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

CCA akan mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif bagi industri minyak dan gas di Sabah termasuk luar pesisir serta darat, dan kerajaan negeri menerusi syarikatnya SMJ Petroleum Sdn Bhd akan mendapat bimbingan Petronas dalam memastikan negeri itu berupaya menjadi pemain industri yang kukuh.

Ketua Menteri juga mengumumkan penubuhan jawatankuasa di bawah kerjasama berkenaan iaitu Dialog Strategik Tahunan (ASD); dan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (JCC); selain jawatankuasa-jawatankuasa kecil dalam bidang Huluan, Pembekalan Gas Domestik, Pelaburan Ekuiti dalam LNG & perniagaan Hiliran, Industri Peralatan & Perkhidmatan Minyak dan Gas termasuk Pembangunan Modal Insan serta hal-hal berkaitan negeri yang lain.

Melalui jawatankuasa itu, Sabah akan memastikan penyertaan dan kawalan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui pelan pembangunan termasuk penyertaan dalam aktiviti minyak dan gas negeri yang merangkumi Pelan Induk Gas Sabah, projek LNG serta penglibatan dalam Kontrak Perkongsian Produk.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, Petronas turut bersetuju menyerahkan hak untuk mengakses data dalam industri minyak dan gas Sabah yang akan memudahkan perbincangan dalam ASD, JCC dan jawatankuasa teknikal di bawahnya.

Selain itu, CCA akan membenarkan penyertaan syarikat atau kontraktor dari Sabah dalam Program Pembangunan Vendor dan Petronas akan berusaha untuk memberikan lebih banyak kontrak kepada rakyat Sabah dalam proses tender, katanya.

Petronas turut bersungguh untuk membayar tunai royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian hasil yang lebih besar.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa CCA akan memelihara hak perundangan negeri dengan menyediakan perlindungan menyeluruh demi kepentingan negeri,” katanya.

Dalam konteks ini, Hajiji berkata, kerajaan Sabah merakamkan terima kasih atas komitmen kerajaan Persekutuan dan Petronas yang sentiasa mendengar tuntutan Sabah daripada segi hak minyak dan gasnya.-- Bernama