X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Remaja tercampak atas bumbung bengkel dilanggar pemandu lalok

Orang ramai membantu menurunkan Wan Mohamad Sabaruddin yang tercampak ke atas bumbung selepas dilanggar lelaki khayal dadah.
A
A

BACHOK - Seorang remaja lelaki melambung ke atas bumbung sebuah bengkel selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu lelaki khayal dadah di Jalan Kampung Permatang Piah, Pak Badol, Mahligai di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, patah paha kiri dan tangan kiri akibat kemalangan itu.

Kejadian itu turut membongkar kegiatan penyeludupan dadah oleh pemandu kereta jenis Honda Civic EK berkenaan apabila polis menemui heroin dan 102 biji pil pada lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, susulan itu, lelaki berusia 36 tahun yang beralamat di Selising, Pasir Puteh tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan dan pemilikan dadah.

“Polis menerima maklumat berhubung kemalangan yang berlaku dan pergi ke tempat kejadian.

“Anggota menghampiri pemandu yang berada di tepi kereta tersebut untuk pemeriksaan namun berlaku pergelutan. Pemeriksaan fizikal ke atasnya menjumpai anggaran berat kasar tiga gram dadah jenis heroin dan 102 biji pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM3,020,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, sebelum itu, kemalangan terbabit dipercayai berlaku semasa suspek memandu kereta dari arah Melor menghala ke rumahnya di Kampung Tasek Pauh, Selising, Pasir Puteh.

“Apabila sampai di Jalan Kolam, suspek cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Kancil sebelum merempuh motosikal jenis Yamaha LC dari arah bertentangan yang ditunggang mangsa.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke atas bumbung sebuah bengkel yang berada di tepi jalan.

“Mangsa yang mengalami patah paha dan tangan kiri kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan,” katanya.

Ujar beliau, urin yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Malah, semakan terhadap lelaki yang bekerja sendiri itu mendapati dia mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!