X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Masa sesuai untuk Malaysia, Singapura kukuh kerjasama dua hala

Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kedua-dua Malaysia dan Singapura mengukuhkan kerjasama dua hal, termasuk meneroka bidang baharu dengan kepentingan bersama, terutama ketika ekonomi dunia telah dibuka semula.

Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelbagai skim perjalanan termasuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang telah dimuktamadkan antara kedua-dua negara, akan memudahkan usaha kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pelancongan.

"Bagi pelancongan, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada peningkatan ketibaan pelancong untuk menggiatkan semula industri pelancongan dan seterusnya mengukuhkan lagi hubungan sosioekonomi kita,” katanya pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke negara itu.

Bidang lain yang berpotensi tinggi untuk kerjasama ialah Revolusi Industri 4.0, teknologi kewangan, pembuatan termaju, e-dagang, aeroangkasa dan ekopelancongan.

“Adalah penting bagi kedua-dua Malaysia dan Singapura untuk saling melengkapi bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan sambil kedua-duanya berusaha meningkatkan rantaian nilai global untuk manfaat bersama.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan tambahan dari Singapura, dan kita yakin asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menarik pelabur, khususnya dari Singapura," tambah beliau.

Katanya, Kementerian Kewangan bersedia memudahkan pelaburan masuk dengan memastikan insentif cukai Malaysia serta pemboleh lain kekal menarik kepada pelabur.

Semasa lawatan kerja itu, Tengku Zafrul turut membincangkan beberapa topik berkisar mengenai perdagangan, ekonomi dan pelaburan dengan para menteri Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Dasar Ekonomi, Heng Swee Keat; Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Dr. Vivian Balakrishnan; Menteri Kewangan, Lawrence Wong; dan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng.

Singapura dan Malaysia adalah rakan dagangan kedua terpenting antara satu sama lain.

Singapura ialah sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) negara dan destinasi pelaburan langsung terbesar Malaysia di luar negara (DIA).

Pada 2020, Singapura dinamakan pelabur terbesar dengan jumlah pelaburan RM152.83 bilion, menguasai 21.7 peratus daripada FDI Malaysia.

Hubungan ini adalah hubungan timbal balik kerana Singapura dinamakan sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia pada tahun yang sama (2020), dengan kedudukan Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) bernilai RM110.38 bilion, iaitu kira-kira 21.3 peratus daripada DIA Malaysia.

Secara keseluruhan, pada akhir suku ketiga 2021, FDI Singapura berjumlah RM162.04 bilion manakala DIA mencecah RM106.59 bilion. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!