Piala AFF: ‘Mickey’ boleh beraksi jika negatif Covid-19

Pemain Skuad Kebangsaan Mohd Faisal Abdul Halim - Foto Bernama
Pemain Skuad Kebangsaan Mohd Faisal Abdul Halim - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN sayap lincah Muhammad Faisal Abdul Halim yang ketika ini sedang menjalani tempoh isolasi selepas disahkan positif Covid-19, boleh beraksi pada bila-bila masa dalam saingan Piala AFF di Singapura sekiranya ujian saringan dijalankan selepas ini negatif virus berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, situasi itu ternyata berbeza dengan seorang lagi pemain, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid yang turut positif Covid-19 apabila bakal kehilangan peluang beraksi di Singapura sekiranya ketua jurulatih Tan Cheng Hoe memutuskan untuk menggantikan tempatnya dengan penjaga gol lain.

“Jika pemain didapati negatif hari ini, maka dia boleh sertai pasukan serta-merta, kita doakan agar pemain terlibat dapat kembali bersama pasukan secepat mungkin.

“Kebenaran juga sudah diberi untuk tukar penjaga gol, di mana jika bawa pemain lain maknanya Khairulazhan tidak boleh bermain di Piala AFF,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan antara FAM dan Al-Ikhsan Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Namun, Mohd Saifuddin memaklumkan, hanya Cheng Hoe yang boleh memuktamadkan sama ada mahu mengekalkan khidmat Khairulazhan atau memanggil penjaga gol dikehendaki itu ke dalam skuad sedia ada ketika ini.

Mohd Saifuddin berkata, penjaga gol tersebut juga akan menjalani prosedur ketat termasuk memohon kelulusan daripada kerajaan Singapura, menjalani ujian saringan ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR) dan tempoh isolasi selama 24 jam, sebelum dibenarkan menyertai kem Harimau Malaya.

Ketiadaan Khairulazhan menyaksikan Harimau Malaya mempunyai dua sahaja penjaga gol yang boleh diturunkan untuk menghadapi saingan berkenaan iaitu penjaga gol berpengalaman Khairulfahmi Che Mat selain pendatang baharu, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Awal hari ini, Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF) meluluskan permohonan rasmi FAM untuk menggantikan pemain bagi menjaga benteng terakhir negara dalam kempen kejuaraan Piala AFF yang sedang berlangsung ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas, FAM mengesahkan Khairulazhan dan Muhammad Faisal atau lebih dikenali ‘Mickey’ disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR), yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Jumaat lepas diperoleh.

Kedua-dua pemain tersebut yang tidak bergejala diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari sekali gus terlepas tiga aksi pertama Kumpulan B kejuaraan itu.

Berdasarkan undang-undang pertandingan tiada sebarang penambahan dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran pemain, kecuali pertukaran melibatkan posisi penjaga gol.

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2020 dengan langkah kanan selepas menumpaskan Kemboja 3-1 semalam dan akan bertemu Laos, Khamis ini sebelum menamatkan baki saingan kumpulan berdepan juara bertahan Vietnam dan Indonesia masing-masing pada 12 dan 19 Disember ini.

Dalam pada itu, Mohd Saifuddin berkata, FAM masih memberi masa kepada pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) Brad Maloney, yang ketika ini dilaporkan sedang cuti rehat, untuk menandatangani kontrak baharu atau sebaliknya selepas kontraknya tamat penghujung tahun ini. - Bernama