Mahkamah Persekutuan kekalkan pembebasan lelaki Sabah dari tahanan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan pembebasan seorang lelaki berasal dari Sabah yang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan khas) 1985.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan bahawa penjelasan yang diberikan oleh pegawai yang bertanggungjawab berhubung kelewatan selama 36 hari untuk mengemukakan laporan kepada Menteri Dalam Negeri, dalam mengesyorkan penahanan lanjut atau sebaliknya, adalah tidak memuaskan.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Nallini Pathmanathan menolak rayuan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Penguasa Kanan Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor, untuk mengembalikan tahanan Awang Sari Lasikan, 34 tahun.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Tengku Maimun berkata, berdasarkan rekod menunjukkan selepas empat hari Awang Sari ditahan, tiada siasatan lanjut dijalankan, sehubungan itu tiada sebab untuk menangguhkan penyerahan laporan tersebut.

Beliau berkata, pegawai yang bertanggungjawab membuat laporan itu dikehendaki mengutamakan kes tersebut kerana kebebasan invidivu, yang hak mereka sebagai warganegara berhak mendapat pengiktirafan penuh di bawah Perlembagaan Persekutuan, perlu dihormati.

Hakim Tengku Maimun berkata, jika masa yang panjang diambil untuk menghasilkan laporan itu, ia akan menjejaskan tempoh tahanan, sambil menambah sekiranya laporan itu dikeluarkan awal, Menteri Dalam Negeri mungkin memutuskan untuk tidak mengeluarkan perintah selanjutnya dan lelaki itu boleh dibebaskan pada kadar segera.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan perintah tahanan Awang Sari yang ditandatangani di bawah nama ‘Muhyiddin’ dan bukannya nama dalam kad pengenalan (MyKad) dan yang telah diwartakan melalui Warta Kerajaan, Mahiaddin Md Yasin adalah cacat.

“Kami tidak bersetuju dengan Pesuruhjaya Kehakiman. Kami berpendapat ada merit dalam hujah Kementerian Dalam Negeri, hanya ada seorang Menteri Dalam Negeri pada masa itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pagoh yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sejurus selepas perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional telah menandatangani perintah tahanan di bawah nama ‘Muhyiddin’ dan bukannya nama seperti yang tertera pada MyKad dan Warta Kerajaan, Mahiaddin Md Yassin.

Pada April tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam Norsharidah Awang membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan Awang Sari dan memerintahkan dia dibebaskan daripada tahanan selepas memutuskan perintah tahanan yang ditandatangani di bawah nama Muhyiddin adalah cacat dan tidak sah.

Awang Sari yang ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) telah memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan pembebasan segera daripada tahanan melalui notis usul bertarikh 10 September 2020.-- BERNAMA