Najib gagal masukkan bukti babit Zeti Akhtar Aziz dan keluarga

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Razak gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa untuk memasukkan bukti baharu bagi rayuan mengetepikan sabitan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga Hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Najib gagal menunjukkan terdapat keadaan luar biasa bagi membolehkan mahkamah menerima bukti tersebut.

Bukti baharu yang hendak dimasukkan ialah dakwaan bahawa bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bekerjasama dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Abdul Karim berkata, bekas Perdana Menteri itu selaku perayu perlu menunjukkan bahawa, mahkamah mesti mempertimbangkan untuk memasukkan bukti baharu kerana tanpanya, ia boleh menyebabkan salah laku keadilan.

Beliau berkata, ia selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.

“Selepas menimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati perayu gagal membuktikan empat elemen yang diperlukan sepertimana yang diterima pakai oleh mahkamah ini.

"Oleh itu, kami mendapati bukti tambahan ini tidak perlu diterima masuk, maka permohonan perayu ditolak,” katanya.

Sebelum ini, Najib memohon untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuan mengetepikan sabitan hukuman kes penyelewengan dana SRC dengan mendakwa, wujud pembabitan keluarga Zeti dengan Jho Low.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 Disember lalu, Najib memfailkan notis usul supaya Mahkamah Rayuan menerima masuk bukti itu bagi membolehkan rayuannya didengar kembali.

Ia merupakan keterangan 'viva voce' (lisan) bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein.