10 jambatan lama di Terengganu perlu dinaik taraf

Ahmad Samsuri (dua dari kanan) merasmikan jambatan baharu Taman Rekreasi Pulau Kekabu pada Selasa.
Ahmad Samsuri (dua dari kanan) merasmikan jambatan baharu Taman Rekreasi Pulau Kekabu pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu telah mengenal pasti lebih 10 jambatan lama di negeri ini yang perlu dinaik taraf atau dibina baharu bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan lebih RM300 juta bagi projek pembinaan jambatan baharu Marang yang dijangka bermula pada tahun depan.

"Selepas urusan di peringkat Kementerian Kerja Raya selesai, surat setuju terima telah dihantar kepada syarikat yang berjaya mendapat kontrak ini, Insya-ALLAH majlis pecah tanah pembinaan jambatan baharu Marang akan diadakan pada Januari atau Februari nanti bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan jambatan baharu Taman Rekreasi Pulau Kekabu bernilai RM1.38 juta yang akan memberi keselesaan kepada pengunjung kawasan rekreasi popular itu di sini pada Selasa.

Hadir sama Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan negeri nekad untuk menyelesaikan masalah semua jambatan lama namun ia tidak dapat dinaik taraf sekali gus berikutan ia memerlukan kos besar.

Kata beliau, kos paling minimum bagi sebuah jambatan kecil adalah sekitar lebih RM1 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu berkata, selain jambatan Marang yang menghubungkan laluan utama Kuala Terengganu ke Kuantan, jambatan Manir di Kuala Terengganu turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri untuk dinaiktaraf dalam perancangan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pihaknya berhasrat untuk menaik taraf semua sekali gus tetapi disebabkan pembinaan jambatan ini di bawah bidang kuasa dan dana kerajaan Pusat, ia akan diperiksa mengikut keutamaan.

"Kita tidak nafikan jambatan mana pun penting tapi bagi kes jambatan Marang ini, daripada empat lorong tiba-tiba jadi dua lorong sedangkan ia adalah laluan utama.

"Apa pun kita akan bincang dengan kerajaan Persekutuan walaupun kita sedar tentang kekangan kewangan," katanya.