Perkara 160 Perlembagaan Malaysia perlu diperkasakan

Rais (kiri) menerangkan sesuatu kepada Azam (dua dari kiri) dan Mesran (dua dari kanan) ketika menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti di Seremban pada Selasa.
Rais (kiri) menerangkan sesuatu kepada Azam (dua dari kiri) dan Mesran (dua dari kanan) ketika menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti di Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memainkan peranan penting untuk memperkasakan Perkara 160 Perlembagaan Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, artikel itu semakin dilupakan terutama berkenaan soal adat dan istiadat Melayu yang sepatutnya dijadikan sebagai salah satu silibus dalam mata pelajaran pendidikan.

"Saya hairan kenapa Perkara 160 itu tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa, sekali gus saya cadangkan supaya Peguam Negara menasihatkan kerajaan tentang adanya peruntukan ini.

"Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan perlu mengambil berat mengenai kelompongan dalam perlembagaan kita," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti di Auditorium D'Sury Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop

Sementara itu, Rais turut memberi teguran kepada sistem pemerintahan negara ini kerana tidak berasaskan kepada diplomasi adat yang membina sesebuah tamadun.

"Menteri, timbalan perdana menteri dan sampai ke atas memang sibuk. Tapi tanggungjawab perlembagaan wajib ditunaikan.

"Sebaiknya, Peguam Negara atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlu menasihatkan beliau (Perdana Menteri) seperti mana kita menasihatkan beliau berhubung bahasa Kebangsaan dan baju batik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rais turut meminta kerajaan Negeri Sembilan supaya memberi penekanan kepada Artikel 16 yang menekankan Negeri Sembilan sebagai negeri beradat.

Dalam perkembangan lain, Rais yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) memohon Dewan Negara mengambil berat berhubung isu rasuah di negara ini.

Berkenaan kritikan sesetengah individu terhadap beliau yang lantang menegur penggunaan bahasa Inggeris di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Rais berkata, sejak dahulu lagi beliau memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu.

"Saya merupakan orang yang mula-mula mengkritik kenapa mesyuarat kabinet dan mesyuarat menteri tidak menggunakan bahasa Melayu.

"Ketika saya bukan menteri pun saya sudah buat. Saya juga membangkitkan isu bahasa baku," jelas beliau.