Harimau Malaya dapat 'lampu hijau'

Khairulazhan dilapor positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin.
Khairulazhan dilapor positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin.
A
A
A

UMPAMA satu 'talian hayat', skuad Harimau Malaya menerima khabar gembira apabila permohonan untuk mendapatkan penjaga gol baharu mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah mendapat 'lampu hijau' badan induk itu untuk membawa masuk seorang lagi penjaga gol bagi memperkuat Harimau Malaya.

"Sebagaimana yang saya katakan semalam (Isnin), posisi penjaga gol ini agak istimewa berbanding posisi lain yang mana pertukaran boleh dibuat atas sebab di luar jangka.

"Syukur alhamdulillah, permohonan yang dibuat sebelum ini telah diluluskan. Coach Tan (Cheng Hoe) sudah boleh memanggil seorang lagi penjaga gol dalam masa terdekat.

"Tetapi saya sendiri tidak pasti siapa penjaga gol yang dipanggil, terpulang kepada coach Tan. Mengenai pertambahan pemain di posisi pula, kita tidak akan buat permohonan," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, Saifuddin mengesahkan pihaknya telah membuat permohonan kepada AFF untuk membawa masuk seorang lagi penjaga gol selepas Khairulazhan Khalid disahkan positif Covid-19.

Situasi yang menimpa penjaga gol utama Selangor FC itu menyebabkan skuad Harimau ketika ini hanya mempunyai dua penjaga gol - Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata, posisi penjaga gol agak kritikal terutamanya selepas Khairul Fahmi dilayangkan kad kuning dalam pertemuan menentang Kemboja pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Barisan kejurulatihan akan berbincang mengenai pemain yang akan dibawa nanti. Kita agak bimbang posisi berkenaan kerana Apek (Khairul Fahmi) sudah kena kad kuning.

"Memang ada dua penjaga gol yang akan disenarai pendek tetapi belum lagi dimuktamad dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini," jelasnya.