Perbincangan VTL Malaysia-Thailand penghujung Disember ini

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Thailand diharap mencapai kemajuan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu pada 29 dan 30 Disember ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, seperti VTL antara Malaysia dan Singapura yang dimuktamadkan baru-baru ini, perbincangan sama turut dibuat dengan beberapa negara jiran lain termasuk Thailand dan Indonesia.

"Perbincangan diketuai menteri kesihatan sama seperti perbincangan dengan Singapura," katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Kerangka Dasar Luar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, pada Selasa.

Menurut laporan media, Thailand akan mempertimbangkan pembukaan semula sempadan dengan Malaysia seperti dicadangkan Ahli Parlimen dari wilayah selatan.

Berdasarkan laporan Bangkok Post, jurucakap kerajaan Rachada Dhnadirek berkata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) negara itu sebelum ini mencapai persetujuan secara prinsip berhubung cadangan berkenaan dan mengarahkan butiran berkaitan dikaji.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan dikaji semula susulan perkembangan di Malaysia yang merekodkan kes pertama Omicron membabitkan seorang pelajar asing yang pulang dari Afrika Selatan.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bahawa pegawai junta Myanmar perlu diundang ke mesyuarat ASEAN apabila negara itu menjadi pengerusi badan serantau itu tahun depan, Saifuddin berkata, pemimpin ASEAN tidak membincangkan situasi semasa di Myanmar.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang akan dianjurkan Kemboja pada pertengahan Januari 2022 bakal menjadi platform untuk membincangkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebelum ini telah mengatasi banyak perkara rumit melalui pemukiman itu. Jadi saya amat berharap pemukiman pada Januari akan menghasilkan beberapa keputusan yang positif," katanya.

Saifuddin berkata, kali terakhir ASEAN membuat keputusan berhubung Myanmar ialah semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada Oktober dan Sidang Kemuncak ASEAN-China pada November.

Ditanya mengenai lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken ke Malaysia minggu depan, Saifuddin akan memaklumkan Blinken bahawa Malaysia gembira dengan sidang kemuncak maya antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Joe Biden baru-baru ini.

"Kita mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, kecuali dengan apa yang dilaporkan. Tetapi saya dapat lihat ketegangan antara AS dan China semakin berkurangan, sekurang-kurangnya ketika saya sedang bercakap sekarang dan itu sudah memadai untuk membolehkan ekosistem ekonomi yang lebih kondusif khususnya bagi syarikat Malaysia.

"Sebagai contoh, banyak syarikat telekomunikasi kita gunakan teknologi dari timur dan barat. Ada ketika beberapa syarikat telekomunikasi agak takut melihatkan kepada hubungan antara Washington dan Beijing ketika pentadbiran sebelum ini," katanya.

Menurut laporan media, Blinken dijangka melawat Indonesia dan Malaysia minggu depan. - Bernama