NanoVerify, FOMCA bekerjasama sahkan produk nano kepada pengguna

Dari kiri: Setiausaha Agung FOMCA, Datuk Dr Paul Selvaraj; Presiden FOMCA, Profesor Emeritus Datuk Dr Marimuthu Nadason; Fadilah dan Pengarah Pengurusan NanoVerify Sdn Bhd, Johan Iskandar Hasan ketika majlis menandatangani MoU pada Khamis.
Dari kiri: Setiausaha Agung FOMCA, Datuk Dr Paul Selvaraj; Presiden FOMCA, Profesor Emeritus Datuk Dr Marimuthu Nadason; Fadilah dan Pengarah Pengurusan NanoVerify Sdn Bhd, Johan Iskandar Hasan ketika majlis menandatangani MoU pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pensijilan nanoteknologi Malaysia, NanoVerify menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Khamis bagi memastikan orang ramai dapat membeli barangan teknologi tersebut dengan lebih yakin.

NanoVerify dalam satu kenyataan berkata, melalui kerjasama tersebut, syarikat itu menawarkan penyelesaian yang mampu menyakinkan pengguna melalui produk disahkan di bawah Program Nanoverify.

Pengerusi NanoVerify, Datuk Fadilah Baharin berkata, langkah tersebut sangat signifikan kerana syarikatnya mempunyai struktur penting yang mampu memudahkan pengesahan produk nanoteknologi dijual di Malaysia.

“Kami berharap dengan MoU yang dipersetujui bersama FOMCA, pelanggan dapat mengenal pasti produk palsu yang boleh didapati di pasaran dengan mudah, dan memastikan mereka hanya membeli produk yang berkualiti," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Nanoverify merupakan sebuah syarikat milik penuh NanoMalaysia Berhad iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab memantau dan memudahkan pembangunan serta pengkomersialan nanoteknologi di dalam negara.

Terdapat lebih 900 produk nanoteknologi di pasaran Malaysia dengan 148 daripadanya diperakui di bawah Program NanoVerify.

Sementara itu, menurut Nanoverify, pihaknya berusaha mendidik pengguna mengenai pensijilan yang betul bagi barangan nanoteknologi termasuk logo yang telah disahkan pada unit simpanan stok (SKU).

“Pelanggan pastinya akan mengalami kesukaran untuk membezakan produk nanoteknologi yang tidak disahkan daripada yang tulen.

Artikel Berkaitan:

“Produk nanoteknologi yang tidak disahkan berbahaya kerana pemalsu tidak menjalankan ujian pengguna terlebih dahulu atau mungkin langsung tidak mengandungi unsur nano.

“Jadi, logo ini memberi jaminan kepada para pengguna bahawa produk tersebut sememangnya mengandungi unsur nano dan telah melepasi jaminan kualiti tegar yang telah ditetapkan oleh NanoVerify,” jelasnya.

NanoVerify berkata, senarai produk yang disahkan tersedia di laman sesawang NanoVerify dan pengguna boleh menyemak produk yang boleh dipertimbangkan untuk dibeli.

Katanya, pengguna juga boleh merujuk kepada saluran perkhidmatan pelanggan FOMCA untuk membuat aduan mengenai penipuan pensijilan serta memastikan mereka dilindungi daripada barangan yang tidak disahkan.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari media sosial NanoVerify di Facebook atau nanoverify di Instagram atau www.nanoverify.com.my.