Himpunan seni pertahan diri pecah rekod MBOR

Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli merasmikan program tersebut.
Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli merasmikan program tersebut.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 2,681 peserta dari seluruh Kedah menyertai Himpunan Gerak Seni Pertahanan Diri Malaysia Book Of Records 2019 yang disaksikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Omar, di sini.

Baginda berkenan mencemar duli turun dan merasmikan program tersebut dengan memalu gong sebanyak tiga kali sebagai gimik perasmian.

Wakil Malaysia Book Of Records (MBOR), Mohd Hafizi Hamdan turut mengumumkan perhimpunan tersebut berjaya mengatasi rekod yang pernah dicipta sebuah institusi di negara ini pada 2016 melibatkan 1,600 penyertaan.

Pengarah Pendidikan Kedah, Abd Aziz Selaiman berkata, program tersebut mencapai objektifnya apabila Sultan Kedah gembira melihat penyertaan daripada semua kaum di negeri ini.

Demonstrasi memecahkan jubin yang dilakukan peserta sebagai acara penutup.
Demonstrasi memecahkan jubin yang dilakukan peserta sebagai acara penutup.

Menurutnya, elemen perpaduan diselitkan dalam program tersebut di samping mahu memastikan timbulnya minat seni bela diri dalam kalangan semua kaum terutamanya membabitkan generasi muda.

"Kementerian berusaha menjalinkan kerjasama melibatkan ibu bapa dan masyarakat dengan pengurusan sekolah dan melalui program ini ia dilihat berhasil.

"Program himpunan ini sebenarnya adalah cetusan daripada pihak PIBG SMK Dato Syed Omar malah ia juga mendapat perhatian sekolah dari Thailand yang mahu menyertainya namun atas-atas faktor seperti masa yang agak suntuk, kami gagal penuhi permintaan mereka," katanya pada sidang media.

Artikel Berkaitan:

Abd Aziz berkata, sembilan Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini terlibat secara langsung bagi memastikan himpunan berjalan lancar dan penglibatan melibatkan peserta seusia lima tahun, pelajar sekolah rendah, menengah dan mahasiswa institut pengajian tinggi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Para peserta juga berlatih dalam masa yang agak singkat sejak November tahun lalu selain kita juga menghimpunkan guru-guru dari semua bela diri di negeri ini dalam melatih peserta," katanya.

Hadir sama Exco Kedah, Firdaus Ahmad yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.