Dalam kolam buaya rupanya...

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menafikan penemuan seekor buaya di sebuah tasik di Taman Dengkil Jaya, Dengkil seperti yang tular di laman sosial pada Isnin.

Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, siasatan pihaknya mendapati lokasi yang dipaparkan dalam gambar dan video tular itu sebenarnya sebuah kolam buaya di Paya Indah Wetlands.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kakitangan Paya Indah Wetlands yang mendapati ia sama dengan kawasan sebuah kolam buaya di situ.

"Hari ini (Selasa) kita menerima maklumat bahawa video atau gambar tular mengenai reptilia itu adalah di Paya Indah Wetlands," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Taman Dengkil Jaya gempar kemunculan buaya

Perhilitan buat penilaian penemuan buaya sesat di tasik

Beliau bagaimanapun berkata, kawasan Paya Indah Wetlands juga berada di bawah seliaan Perhilitan.

"Kita juga sudah meneliti rakaman sebuah video yang memaparkan kehadiran buaya berkenaan. Ia sama seperti kawasan kolam buaya itu dan bukannya di sebuah tasik seperti yang didakwa," jelas beliau.

Dennis berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Perhilitan negeri dan Hulu Langat pada Isnin bergegas ke tasik itu sejurus menerima maklumat mengenai penemuan tersebut.

"Hasil pemeriksaan menyeluruh Perhilitan bagaimanapun tidak menemui buaya di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kehadiran buaya di kawasan tersebut.

"Orang awam diminta menghubungi Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 sekiranya terdapat sebarang aduan berkaitan hidupan liar," ujarnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, penduduk di Taman Dengkil Jaya gempar dengan kehadiran seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 8.29 malam.

Perhilitan menafikan penemuan seekor buaya di sebuah tasik di Taman Dengkil Jaya, Dengkil pada Isnin.