87 individu terima darjah, bintang kebesaran, pingat Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 87 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-76 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dalam kenyataan di sini pada Selasa berkata, baginda mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati kepada seorang penerima iaitu Darjah Kerabat Kedua (D.K II).

Beliau berkata, 17 individu pula menerima Darjah dan Bintang Kebesaran yang membawa gelaran manakala 69 lagi tanpa membawa gelaran.

Haris berkata, daripada 17 penerima berkenaan, seorang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' bagi lelaki dan ‘Datin Paduka Seri’ bagi wanita.

Beliau berkata, seramai 16 lagi penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) dan Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang kedua-duanya membawa gelaran 'Datuk’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita.

Menurut Haris, pada tahun ini, kerajaan negeri menerima 2,100 permohonan dan daripada jumlah itu, 990 adalah permohonan pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,110 pencalonan untuk Pingat-Pingat Negeri Selangor.

“Pada tahun ini, Sultan Sharafuddin mengutamakan calon-calon daripada barisan hadapan bagi memenuhi kuota Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor yang ditetapkan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan dalam menggalas tugas yang dipertanggungjawabkan tanpa mengira masa dan tenaga bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau menjelaskan tumpuan pada kali ini juga diberikan kepada penyelaras yang mengendalikan pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Artikel Berkaitan:

"Semua calon telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.- Bernama