Ismail Sabri lancar Kerangka Dasar Luar Malaysia

Ismail Sabri Yaakob berucap ketika melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia, bertemakan 'Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World', pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob berucap ketika melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia, bertemakan 'Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World', pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia, bertemakan “Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” untuk memperkasakan lagi dasar diplomasi negara

Beliau berkata, kerangka kerja itu mengenal pasti cabaran dan kemunculan trend baharu global serta isu yang harus diberi keutamaan dalam jangka masa terdekat.

"Kerangka kerja itu merangkumi dua komponen utama iaitu cabaran semasa yang perlu diberikan perhatian dan ditangani segera oleh Kerajaan terutama dalam konteks pandemik Covid-19; dan hala tuju hubungan antarabangsa Malaysia untuk jangka masa sederhana dan panjang.

"Kerangka kerja itu adalah dokumen yang pragmatik dan holistik yang menetapkan langkah yang jelas dan tindakan terarah bagi dasar luar negara untuk mencapai matlamat utamanya dalam memupuk masa depan yang lebih aman serta makmur," kata Ismail Sabri ketika berucap melancarkan Kerangka Dasar Luar itu.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP).

Kerangka kerja itu menumpukan kepada lapan keutamaan iaitu menurut Ismail Sabri yang pertama adalah menggiatkan semula hubungan Malaysia di dalam ekonomi global, dengan menekankan kepada mewujudkan kerjasama erat dengan negara lain di platform antarabangsa.

"Kedua, memfokuskan kepada diplomasi kesihatan, merangkumi tindakan yang tidak hanya semata-mata tertumpu kepada menerima atau menyumbang vaksin dan peralatan perubatan lain.

"Ini memerlukan Malaysia terlibat secara langsung dalam pembuatan dan pengurusan rantaian bekalan vaksin di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga, membangunkan ekonomi digital yang merupakan satu daripada pemacu utama Malaysia untuk pertumbuhan ekonomi, manakala yang keempat adalah membentuk norma dan undang-undang keselamatan siber antarabangsa bagi melindungi kepentingan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang kelima adalah menekankan kepada diplomasi budaya untuk meningkatkan keunikan identiti Malaysia di pentas global dan pada masa sama mempromosikan akses pasaran lebih luas untuk produk budaya Malaysia.

Keutamaan keenam, menggalakkan falsafah hidup bersama dalam budaya damai, dan menurutnya kepelbagaian jika disertai rasa hormat serta persefahaman bersama, ia mampu menjadi alat paling berkesan untuk menuju ke arah pemulihan global yang berjaya.

Ismail Sabri berkata, yang ketujuh ialah mendukung prinsip multilateralisme dan akhir sekali berusaha serta memberikan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mencapai matlamat ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau yakin kerangka kerja itu satu dokumen yang pragmatik dan holistik, akan menyediakan laluan untuk Malaysia muncul lebih utuh dan berdaya tahan berbanding sebelum pandemik dan pada masa sama membolehkan Malaysia menjadi lebih aktif serta dinamik di arena antarabangsa.

Perdana Menteri turut memuji kesungguhan serta usaha Saifuddin dan pasukannya yang menggembleng tenaga merumuskan kerangka itu, mengguna pakai kaedah Whole-of-Government dan Whole-of-Society dengan pendekatan syura (perundingan). - Bernama