Sabah kutip cukai jualan produk petroleum RM1.56 bilion

Kerajaan Sabah telah mengutip sejumlah RM1.56 bilion cukai jualan ke atas produk petroleum sejak cukai itu mula berkuat kuasa pada April 2020. - Foto Bernama
Kerajaan Sabah telah mengutip sejumlah RM1.56 bilion cukai jualan ke atas produk petroleum sejak cukai itu mula berkuat kuasa pada April 2020. - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN negeri Sabah telah mengutip sejumlah RM1.56 bilion cukai jualan ke atas produk petroleum sejak cukai itu mula berkuat kuasa pada April 2020.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Jasni Daya berkata, cukai jualan negeri ke atas produk petroleum yang dikenakan ke atas minyak mentah petroleum dan gas asli/gas asli cecair adalah pada kadar lima peratus bagi setiap produk tersebut.

“Anggaran asal kutipan cukai ini pada tahun ini ialah RM1.25 bilion. Ekoran kenaikan harga komoditi ini, anggaran tersebut telah disemak kepada RM1.4 bilion,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) yang ingin tahu mengenai anggaran secara terperinci kutipan hasil cukai jualan ke atas produk petroleum yang telah dilaksanakan sejak 2020.

Menjawab soalan tambahan Phoong yang mempersoalkan peruntukan diagihkan kepada setiap kementerian dikurangkan sedangkan Sabah menerima cukai jualan yang tinggi, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata cadangan peruntukan yang dibawa untuk diluluskan adalah cadangan daripada setiap kementerian.

“Daripada cadangan itu, jika diteliti, ia melebihi daripada kemampuan kerajaan atau hasil yang kita kutip. Bagaimanapun, perbincangan dan mesyuarat telah diadakan beberapa kali di peringkat Kementerian Kewangan untuk melihat keperluan peruntukan mengikut kementerian. Ini adalah amalan sejak dahulu lagi.

“Kita sedar bahawa kita memerlukan seberapa banyak peruntukan yang boleh untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Namun, kita perlu melakukan secara berhemat mengikut kemampuan kewangan kerajaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: