Kelantan perlu kekal empat PKRC

Dr Mohd Zurairie melakukan tinjauan di PKRC USM di Kubang Kerian pada Selasa.
Dr Mohd Zurairie melakukan tinjauan di PKRC USM di Kubang Kerian pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU – Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya empat buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk dikekalkan bagi menempatkan keseluruhan 500 orang pesakit dalam satu-satu masa.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, negeri ini tidak mempunyai PKRC besar yang boleh memuatkan sehingga 500 pesakit untuk satu lokasi.

“Mengenai saranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mengekalkan satu PKRC melibatkan kapasiti 500 orang, pada pendapat kami, kita mungkin tidak dapat kekalkan satu PKRC sahaja.

“Walaupun Kelantan mempunyai banyak PKRC, tapi semuanya berskala kecil. Kita perlu tiga atau empat PKRC untuk muatkan 500 orang. Namun perkara ini akan dilihat kembali dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Dr Mohd Zurairie sebelum itu mengadakan lawatan bersama wakil Nadma ke PKRC Universiti Sains Malaysia (USM), di sini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, PKRC yang berada dalam pertimbangan untuk dikekalkan ialah dua untuk lelaki dan dua untuk perempuan iaitu di Tanjong Chat, Dewan Jubli Perak, Gelanggang Seni dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, sehingga kini, purata PKRC yang ada di kelantan mampu menempatkan 100 hingga 200 pesakit untuk setiap lokasi yang masih dibuka.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Dr Aminuddin Hassim menyarankan sekurang-kurangnya satu PKRC dengan kapasiti 500 orang akan kekal beroperasi di setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebanyakan premis yang dijadikan PKRC sebelum ini telah memohon untuk menamatkan operasi bagi meneruskan urusan dan perniagaan seperti biasa.