Video marsyal tular: Dua lelaki serah diri

Aksi marshal yang tular Ahad lepas. - Foto media sosial
Aksi marshal yang tular Ahad lepas. - Foto media sosial
A
A
A

PORT DICKSON - Dua lelaki termasuk seorang ahli perniagaan dan ejen insurans bergelar Datuk tampil di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson bagi membantu siasatan berkaitan aksi marsyal yang tular dalam kejadian Ahad lepas.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dua individu masing-masing berusia 45 dan 49 tahun itu hadir di balai polis trafik pada jam 12.45 tengah hari dan 2.30 petang Isnin selepas mengetahui aksi mereka ditularkan di media sosial.

"Polis telah menahan kedua-dua lelaki itu selepas menyerah diri di Balai Polis Trafik Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, polis turut merampas dua buah motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu digunakan kedua-dua lelaki berkenaan.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kedua-dua lelaki itu jika terdapat kesalahan lain," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marsyal memberi arahan kepada kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan seperti video tular di sosial Facebook pada Ahad.

Video berdurasi tiga minit itu menunjukkan aksi marsyal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan.

Ia bagi membenarkan sekumpulan kira-kira 20 motosikal berkuasa tinggi melalui laluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967, Sekyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (halangan lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A) - (Kesalahan di garisan berkembar).