Perlombongan musnahkan ekosistem Tasik Chini

A
A
A

ISU alam sekitar tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat. Satu persatu, isu dan permasalahan alam sekitar timbul tanpa menemui noktah.

Natijahnya, kita telah menyaksikan satu demi satu ekosistem diancam kemusnahan lantaran kurangnya kesedaran terhadap kepentingannya, selain tidak menghayati fungsi sebenar penciptaan manusia sebagaimana yang telah dinukilkan dalam al-Quran.

Sedangkan sebagai hamba ALLAH, manusia seharusnya sedar bahawa Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH SWT, yakni dengan menjaga batas-batasnya dan tidak keterlaluan serta berlebih-lebihan dalam sesuatu urusan termasuklah dalam konteks berinteraksi dengan alam sekitar dan ekosistem.

Hal ini telah disebutkan dengan jelas dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat kapal-kapal belayar padanya; dan supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur” (Surah an-Nahl, 16: 14).

Antara isu terbaharu yang menjadi paparan dada akhbar adalah penerokaan tanah dan perlombongan yang berleluasa di sekitar Tasik Chini sehingga menjejaskan ekosistem tasik berkenaan. Isu alam sekitar membabitkan Tasik Chini bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya ancaman terhadapnya telah berlanjutan sejak sekian lama dan kian parah sejak kebelakangan ini.

Bayangkan, apakah kesudahan nasib kawasan tadahan air semula jadi ini sekiranya tiada langkah drastik diambil oleh pihak berwajib bagi menanganinya? Ini pastinya mengundang masa depan yang kelam kepada ekosistem berkenaan, seterusnya membawa kemusnahan dan ancaman kepupusan biodiversiti yang menghuninya.

Alangkah sayangnya jika ekosistem ini musnah, kerana secara faktanya Tasik Chini yang berkeluasan 5,084 hektar dan mempunyai rangkaian 12 buah tasik yang tercantum antara satu sama lain merupakan tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian flora (138 spesies) dan fauna (300 spesies hidupan bukan akuatik dan 144 spesies ikan air tawar).

Oleh kerana kekayaan spesies flora dan faunanya, Tasik Chini telah diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera, Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pertama di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Statusnya sebagai tapak rizab biosfera tidak mengecualikannya daripada dinodai dan menjadi mangsa rakus tangan-tangan ghaib sehingga sedikit demi sedikit menghakis kehijauan dan keindahannya yang menjadi daya tarikan destinasi pelancongan sejak sekian lama. Malah, penerokaan tanah bukit tanpa kawalan yang dilakukan berhampirannya (kira-kira 150 meter dari tasik) menunjukkan seolah-olah tiada zon penampan seperti yang lazimnya ditetapkan bagi mengelakkan pencemaran.

Ekoran daripada situasi ini menyebabkan berlakunya mendapan tanah dan air menjadi semakin cetek, keruh serta berbau. Hidupan akuatik seperti ikan juga didapati semakin berkurangan. Aktiviti pembangunan untuk tujuan sektor pertanian dan ekopelancongan yang tidak mesra alam juga telah membawa kesan negatif terhadap fungsi dan kepelbagaian ekologinya sehingga menjejaskan nilai estetika Tasik Chini.

Berikutan kemerosotan ekosistem berkenaan menyebabkan kunjungan pelancong juga semakin berkurangan sehingga menjejaskan sumber ekonomi penduduk setempat yang bergantung kepada sektor ekopelancongan di kawasan tersebut.

Daripada statistik yang dikeluarkan, didapati bahawa jumlah kunjungan pelancong pada tahun 2016 adalah lebih daripada 16,000 orang, namun berkurangan kepada 7,000 orang pada tahun 2017. Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, tidak mustahil kita akan kehilangan khazanah ekosistem tasik semula jadi yang tidak ternilai ini.

Justeru, sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah proaktif bagi mengenal pasti dan menangani isu berkenaan yang dilihat seolah-olah kebal undang-undang. Sekiranya wujud unsur-unsur tidak sihat atau tangan-tangan ghaib yang melindungi aktiviti berkenaan, maka tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira latar belakang pihak terbabit sama ada daripada golongan yang berpengaruh mahupun sebaliknya. Hal ini penting bagi memastikan isu berkenaan dapat ditangani dengan sewajarnya dan masa depan Tasik Chini dapat diselamatkan.

Semua pihak perlu berganding bahu bagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat untuk memahami realiti kemerosotan mutu alam sekitar dan ekosistem pada hari ini bukan sahaja di Tasik Chini, tetapi juga melibatkan kepelbagaian ekosistem lain di seluruh Malaysia. Hal ini penting agar punca-punca yang menyumbang kepada ancaman kemerosotan dan kemusnahannya dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Inisiatif ini tidak hanya terhad kepada tindakan pencegahan semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan lagi terutamanya dalam mempromosikan pembangunan mesra alam di semua peringkat, sekali gus mengurangkan tapak ekologi melibatkan aktiviti-aktiviti besar untuk tujuan pembangunan sesebuah negeri ataupun negara.

Pada ketika ini, tapak ekologi purata manusia secara global adalah sebanyak 21.9 hektar per individu. Justeru, tindakan drastik perlu dilakukan dengan merancang aktiviti pembangunan secara lebih beretika, lestari dan mesra alam.

Tahap kecekapan penggunaan, penuaian dan pengurusan sumber alam juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan pengeksploitasian sumber secara berlebihan dapat diatasi. Tindakan ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak berwajib semata-mata, sebaliknya anggota masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib sekiranya terdapat aktiviti tidak sihat yang boleh mengundang padah kepada alam sekitar.

Kerajaan negeri dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat juga perlu menjalankan kajian terperinci bagi memudahkan tindakan susulan diambil, terutamanya dalam merangka kaedah-kaedah yang bersesuaian bagi menangani permasalahan yang timbul, selain mengenal pasti langkah-langkah pemuliharaan yang lebih berkesan dalam usaha memastikan kelestarian ekosistem berkenaan dapat dipertahankan.

* Rosmidzatul Azila Mat Yamin Felow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM