100 penguat kuasa, pegawai KPDNHEP Melaka pantau harga barang

Hee Sem (kiri) menunjukkan 12 item barangan di bawah SHMKM di Pasar Raya Lotus di Peringgit di sini pada Selasa.
Hee Sem (kiri) menunjukkan 12 item barangan di bawah SHMKM di Pasar Raya Lotus di Peringgit di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menggerakkan seramai 100 anggota dan pegawai penguat kuasa di negeri ini untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga barangan.

Exco Perpaduan, Pembangunan Masyarakat Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem berkata, pemantauan seawal jam 4 pagi dilakukan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, pasar tani, pasar awam dan ladang.

Menurutnya, usaha itu bertujuan melindungi pengguna daripada pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika terutama musim perayaan.

"Pegawai pemantau harga akan menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas manakala rakan KPDNHEP akan menjadi mata dan telinga kementerian itu untuk menyebarkan maklumat berhubung kepenggunaan terutama mengenai isu harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program Walkabout Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Raya Lotus Peringgit di sini, pada Selasa.

Beliau memberitahu, bermula Januari hingga Ahad lalu, KPDNHEP menerima 116 aduan pengguna berkaitan kenaikan harga barang namun hanya tiga aduan berkaitan telur dan ayam.

"Salah satu aduan yang kita terima ialah kenaikan harga ayam sehingga RM9.90 di Pasar Awam Bachang dan notis berkaitan sudah dikeluarkan terhadap peniaga itu," katanya.

Jelas beliau, dalam tempoh itu juga sebanyak 109 notis pengesahan maklumat barang (NPMB) diberikan kepada peniaga, pemborong dan peruncit.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu 57 notis dikeluarkan berkaitan sayur, 32 ayam dan 20 notis kepada peniaga, pemborong dan peruncit," katanya.

Tegasnya, berharap pengguna dapat membuat pilihan bijak dan memanfaatkan skim itu yang bermula pada Selasa hingga 31Disember ini.

"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.