X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Vaksin Sinovac turut dijual kepada penerima dos penggalak

Semua jenis vaksin yang diberikan kepada orang ramai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) termasuk dos penggalak adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) memaklumkan bahawa vaksin jenis Sinovac turut dijual secara terus kepada penerima dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta.

ProtectHealth dalam satu kenyataan berkata, penjualan tersebut juga akan melibatkan sebilangan PPV di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan pemberian vaksin itu berkata, penjualan vaksin dilakukan di PPV fasiliti kesihatan swasta tidak terletak di bawah program PICK yang dikawal selia ProtectHealth.

"Fasiliti kesihatan swasta yang menjalankan pemberian vaksin Sinovac melalui PICK dan program pembelian vaksin atau ‘private purchase vaccine’ perlu mengutamakan pemberian vaksin Sinovac di bawah PICK yang diberikan secara percuma terlebih dahulu sebelum menawarkannya secara pembelian kepada penerima vaksin.

“PPV juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada penerima dos penggalak akan ketersediaan vaksin Sinovac di bawah PlCK dan menjelaskan kepada mereka yang program pembelian vaksin di fasiliti kesihatan swasta tidak ditanggung oleh kerajaan," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Pada masa sama, ProtectHealth menegaskan, semua jenis vaksin yang diberikan di bawah PICK adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan termasuk vaksin Sinovac yang ditawarkan PPV fasiliti kesihatan swasta dan PPV ‘off-site’ di bawah seliaan ProtectHealth.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa semua jenis vaksin yang terlibat dalam pemberian dos penggalak oleh kerajaan telah disarankan oleh pakar perubatan bertauliah dan ia diberikan secara percuma.

“Sehubungan itu, ProtectHealth ingin menasihatkan penerima dos penggalak yang ingin mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak supaya bertanya kepada PPV fasiliti kesihatan swasta terlebih dahulu sama ada ia menawarkan vaksin Sinovac melalui PICK atau tidak,” jelasnya.

ProtectHealth turut memaklumkan bahawa ketersediaan vaksin Sinovac adalah terhad dan ia memberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin Covid-19 selain daripada vaksin Sinovac sepertimana disyorkan pakar perubatan bertauliah.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesyorkan penerimaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sebagai dos penggalak adalah lebih disarankan kerana ia mampu memberikan perlindungan yang lebih baik (beffer efficacy),” jelasnya.

ProtectHealth turut meminta agar individu yang telah menerima janji temu vaksin dos penggalak untuk segera mendapatkan vaksin mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan.

Sehingga Isnin, PPV fasiliti kesihatan swasta dan 'off-site' di bawah seliaan ProtectHealth telah menyumbang lebih 1.91 juta dos penggalak bersamaan 63 peratus daripada keseluruhan 3,048,396 dos yang telah diberikan dalam PICK.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!