Kerajaan Perak serius lindungi ikan bilis Pangkor

Razman pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan penternakan ketam nipah di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing, Manjung pada Selasa.
Razman pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan penternakan ketam nipah di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing, Manjung pada Selasa.
A
A
A

MANJUNG - Kerajaan Perak memandang serius penangkapan anak ikan bilis di pesisir pantai perairan Pulau Pangkor oleh nelayan.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, zon tangkapan ikan bilis yang telah ditetapkan hanya pada jarak satu batu nautika dan bukan di kawasan pesisir pantai.

Menurutnya, larangan tangkapan di kawasan pesisir pantai dibuat bagi melindungi anak ikan bilis daripada berkurangan.

"Apabila melebihi zon, ia akan menyebabkan habitat terganggu dan sumber terancam. Jadi apabila tangkap bulan pertama atau musim pertama mungkin banyak, tetapi kemudian tak ada hasil bilis pada musim seterusnya.

"Kajian telah dibuat oleh Jabatan Perikanan bahawa kawasan pesisir pantai tidak sesuai untuk tangkapan ikan bilis bagi melindungi sumber," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan penternakan ketam nipah di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing, di sini pada Selasa.

Menurutnya, Jabatan Perikanan bertanggungjawab melindungi sumber ikan bilis terutama ikan bilis mata biru yang ada di perairan Pulau Pangkor hingga ke Pulau Sembilan.

Razman berkata, permintaan terhadap ikan bilis dari Pulau Pangkor amat tinggi dan masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran.

Katanya, ketika ini purata pengeluaran ikan bilis di Pulau Pangkor sekitar 700 metrik tan setahun.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi ciapan di Twitter sebelum ini mencadangkan agar perbincangan perlu diadakan antara nelayan dan Jabatan Perikanan bagi menyelesaikan isu berkaitan penangkapan ikan bilis di perairan tersebut.