Lebih 121,000 warga asing di Pahang terima vaksin lengkap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 132,260 warga asing di negeri Pahang menerima vaksin dos pertama dan 121,265 menerima dos lengkap sehingga 9 November lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, daerah Kuantan merekodkan jumlah tertinggi warga asing menerima vaksin dengan 36,256 penerima dos pertama dan 34,114 orang menerima vaksin lengkap diikuti Cameron Highlands, 16,753 orang (dos pertama) dan 14,092 orang (dos lengkap).

Menurutnya, di Bentong, seramai 13,638 warga asing menerima dos pertama dan 12,707 menerima dos lengkap manakala Temerloh, 13,582 orang menerima dos pertama dan 12,530 orang telah lengkap vaksin.

"Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan tiada warga negara asing yang tercicir menerima vaksin di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berhubung kadar vaksinasi dalam kalangan orang asli dan warga asing di negeri ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14,Penggal Ke-4 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Norol Azali berkata, kemudahan vaksinasi termasuk 'walk-in' di sediakan di pusat pemberian vaksin (PPV) atau aktiviti jangkau luar tanpa mengira status kewarganegaraan.

"Di samping itu promosi menggalakkan vaksinasi dalam kalangan penduduk termasuk warga negara asing sentiasa dilaksanakan dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu katanya, daripada 86,532 masyarakat orang asli di Pahang, seramai 46,538 (91.3 peratus ) populasi dewasa telah menerima vaksin dos pertama dan 45,345 (89 peratus) telah menerima dos lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 9 November lalu, seramai 7,395 penduduk orang asli dijangkiti Covid-19 dan peningkatan kes begitu ketara sejak Julai 2021.

"Berdasarkan pemantauan di peringkat daerah, komuniti itu terdedah kepada risiko jangkitan di tempat kerja dan pergerakan keluar masuk individu berisiko ke kampung orang asli.

"Selain itu terdapat juga sebahagian komuniti orang asli yang kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan penularan wabak ini," katanya.

Tambah beliau, aktiviti pemerkasaan komuniti dalam membudayakan norma baharu serta peningkatan liputan vaksinasi dalam kalangan orang asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri.