48 maut dalam konflik puak di Darfur, Sudan

Pihak berkuasa Sudan belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar yang maut atau cedera. - Foto ANI
Pihak berkuasa Sudan belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar yang maut atau cedera. - Foto ANI
A
A
A

KHARTOUM - Sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam konflik puak di Darfur, Sudan, lapor Xinhua memetik kenyataan pertubuhan bukan kerajaan pada Isnin.

"Laporan awal menunjukkan terdapat 48 kematian akibat ditembak dan ramai lagi cedera dengan beberapa orang dalam keadaan kritikal akibat konflik di kawasan Kirainik, di Darfur,” menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan.

Dalam satu laporan berasingan, penyelaras am pelarian dan orang kehilangan tempat tinggal di Darfur mengesahkan berpuluh-puluh orang terbunuh atau cedera akibat serangan sekumpulan lelaki bersenjata di kawasan Kirainik di Darfur.

"Keganasan meletus di kawasan itu selepas militia bersenjata membunuh dan mencederakan beberapa orang pelarian domestik (IDP) serta membakar kem IDP dan pasar di kawasan Kirainik di Darfur," menurut NGO itu.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Darfur Arko Minni Minnawi berkata usaha sedang dibuat mencegah mobilisasi dan perpecahan puak untuk mengelakkan perkampungan dibakar serta peningkatan konflik.

Pihak berkuasa Sudan belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai jumlah sebenar yang maut atau cedera.

Darfur dicengkam perang saudara sejak 2003 semasa pemerintahan bekas Presiden Omar al-Bashir, yang digulingkan pada April 2019.

Kerajaan peralihan di Sudan berusaha untuk menamatkan konflik melalui perjanjian yang dicapai pada 3 Oktober 2020, namun masih ada beberapa kumpulan bersenjata belum menandatangani kesepakatan itu.

Artikel Berkaitan:

Banyak faktor menyumbang kepada peningkatan keganasan di Darfur termasuk gangguan keselamatan dan akses puak kepada senjata, selain banyak bahagian di wilayah itu tidak mempunyai tadbir urus yang berkesan. - Bernama