'Manusia hanya perlukan empat pasang kasut'

Ramzah Dambul - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ramzah Dambul - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berpendapat setiap individu hanya memerlukan empat pasang kasut dalam satu-satu masa.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata, ini kerana proses pembuatan dan penghasilan sepasang kasut di kilang menyumbang kepada pencemaran dan mengurangkan sumber alam.

"Empat pasang kasut ini, dua pasang untuk digunakan ke tempat kerja. Sepasang untuk tujuan santai dan sepasang lagi bagi bersukan.

"Semakin banyak kita miliki kasut, semakin banyak pencemaran dihasilkan. Sebenarnya kita adalah penyumbang kepada pencemaran alam, perubahan iklim dan kepupusan biodiversiti," katanya di Wacana Sinar Harian ke-93 Perubahan Iklim dan kehilangan biodiversiti: Terjejaskah Rakyat?" hari ini.

Beliau berkata, perubahan iklim telah berlaku akibat perbuatan manusia.

"Iklim yang berubah pada hari ini disebabkan tindakan tidak bermoral manusia terdahulu.

"Kalau pun kita tak hasilkan pencemaran pada hari ini, iklim tidak kembali kepada asal dalam masa terdekat sebaliknya perubahan itu akan dirasai 100 tahun akan datang," katanya.

Menurutnya lagi, perubahan iklim turut disumbang oleh tekanan udara yang meningkat hasil pelepasan gas asing dalam kadar tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita sedia maklum suhu bumi meningkat dan jika gas asing dilepaskan lebih banyak secara berterusan, kita akan berdepan dengan peningkatan suhu pada masa akan datang.

"Dalam hal ini, manusia tidak berdepan kepupusan kerana kita cuba mencari penyelesaian kepada masalah itu sebagai contoh dengan membina rumah yang lebih baik bagi berdepan dengan suhu tinggi. Bagi spesis haiwan dan tumbuhan tidak boleh menerima perubahan ini yang akhirnya menyebabkan ia pupus," katanya.