X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

PH, kerajaan Ismail Sabri perlu kembali kepada kerangka persefahaman

Mujahid
A
A

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berpandangan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu insaf kembali kepada kerangka persefahaman yang dimeterai kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, persefahaman politik penting dan bagi membuka jalan ke arah politik konsensus nasional.

“Seruan YB (Yang Berhormat) Khalid Abdul Samad dan kebimbangan kleptokrasi dikompromi perlu diambil perhatian serius,” katanya menerusi tulisan di Facebook miliknya pada Selasa.

Pada Isnin, Amanah dilapor akan mengesyorkan PH kembali mengkaji Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bersama kerajaan September lalu.

Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi Amanah berkata, syor itu akan dibuat sekiranya golongan kleptokrat kembali berpengaruh dalam pentadbiran Ismail Sabri.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan, MoU antara PH dan Ismail Sabri merupakan usaha penyelesaian krisis politik akibat pandemik yang melanda negara.

“Jalan mati penyelesaian politik selama 17 bulan setelah Langkah Sheraton telah menemukan semua pihak kepada meja rundingan untuk mencapai kestabilan politik.

“Kestabilan politik diperlukan bagi pihak legislatif atau eksekutif tertumpu kepada membawa negara kepada fasa pemulihan secara konsensus,” ujarnya.

Tegasnya, perosak utama MoU ialah mereka yang melihat perjanjian itu sebagai jalan untuk menyelamatkan diri sendiri daripada dakwaan kleptokrasi atau bertujuan berlengah supaya dapat meneruskan amalan itu.

Beliau juga berpendapat, MoU juga sebagai taktikal untuk memperkukuhkan politik lama berteraskan perkauman sempit, demokrasi terpilih dan mempertaruhkan kuasa dengan menawarkan kesetiaan politik melalui sogokan wang dan kedudukan.

Mujahid berkata, mereka mempunyai pilihan untuk membatalkan MoU tetapi keberantakan politik akan berterusan.

“Komitmen PH dan kerajaan Ismail Sabri terhadap perjanjian ini akan memulakan perjalanan panjang politik konsensus untuk kestabilan berterusan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!