Graduan OKU pendengaran terharu dibantu ‘rakan kiriman Tuhan’

Nur Fatin Amira (kiri) dan Nur Khairina yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), di sini baru-baru ini.
Nur Fatin Amira (kiri) dan Nur Khairina yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), di sini baru-baru ini.
A
A
A

BANGI - Ketika mana seorang pelajar yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berasa seperti dipinggirkan oleh rakan-rakan sekelas lain, hadir seorang insan seolah-olah dihantar oleh ALLAH untuk membantunya sepanjang perjalanan ketika bergelar mahasiswa.

Nur Fatin Amira Mohamad, 28 yang merupakan seorang graduan OKU pendengaran di peringkat Ijazah Sarjana Sains Sosial (Antropologi dan Sosiologi) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menceritakan kisahnya ketika dia membuat keputusan menyambung pengajian di UKM pada tahun 2017.

Anak kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang ini pada awalnya mengakui agak sukar untuk belajar dalam persekitaran kelas yang seolah-olah meminggirkan dirinya kerana berbeza dengan orang lain.

Namun pada saat dia hampir putus asa untuk belajar, Nur Fatin Amira tiba-tiba dihadirkan oleh seorang rakan kelasnya, Noor Amira Mohamed Arifin, 28, yang seterusnya membantunya sepanjang pengajian sehingga akhirnya bergraduasi pada tahun ini.

“Pada tahun 2017, saya terpaksa menangguhkan pengajian kerana saya ada rakan kelas yang tidak boleh membantu saya dan rasa dipinggirkan.

“Jadi Noor Amira ini seolah-olah dihantar oleh ALLAH kepada saya dan sepanjang belajar di sini, dialah yang menjadi tulang belakang, tongkat saya yang membantu saya sehingga tamat belajar.

“Saya terharu dapat bergraduasi dengannya kali ini kerana kesukaran saya untuk sampai ke tahap ini hanya ALLAH sahaja yang tahu kerana kita tidak minta dilahirkan begini,” katanya kepada Sinar Harian di Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak sulung daripada tiga beradik ini berazam untuk menjadi seorang pendidik demi memenuhi impian ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

Dia berpesan kepada orang lain yang mempunyai kesusahan sama sepertinya supaya tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berjaya seperti orang lain.

“Walau apa pun kekurangan kita, jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk tidak boleh berjaya seperti orang lain.

“Walaupun apa yang kita mahu itu agak sedikit lambat berbanding orang lain, hiraukan sahaja, fokus kepada matlamat yang kita mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Khairina Rosli, 28 yang merupakan graduan OKU pendengaran dan fizikal turut berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kesusasteraan Pasca Kolonial dalam Bahasa Inggeris) baru-baru ini.

Katanya, walaupun agak sukar untuk belajar terutamanya secara dalam talian ketika musim pandemik Covid-19, dia tidak berputus asa, sebaliknya mencari alternatif lain untuk mengatasi kekurangan dirinya.

“Alat bantuan pendengaran saya lebih khusus untuk komunikasi bersemuka, jadi ada kesukaran untuk mendengar bunyi yang jelas daripada mesin seperti televisyen, komputer dan sebagainya.

“Jadi saya cadangkan kepada pensyarah untuk gunakan aplikasi Google Meet kerana ia mempunyai ciri sari kata, jadi sekurang-kurangnya saya boleh meneka apa yang pensyarah ajar walaupun saya tidak boleh mendengar dengan jelas.

“Rakan-rakan pun faham masalah yang saya alami, jadi bila saya kurang dengar, mereka akan bantu untuk jelaskan apa yang mereka dengari. Malah mereka juga bergraduasi bersama saya dalam majlis konvokesyen kali ini,” katanya.