Pelbagai inisiatif bantu keluarkan Keluarga Malaysia terkesan pandemik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama )Senator Idris Ahmad menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama )Senator Idris Ahmad menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu Keluarga Malaysia terutama usahawan Muslim yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri berkenaan, Idris Ahmad berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah bantuan Musa'adah Tijariyyah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang meluluskan 1,391 permohonan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.113 juta, melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu 700 individu.

"Inilah juga KPI yang telah saya kemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri untuk membantu 700 penerima yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.1 juta. Tetapi oleh kerana permintaannya begitu banyak Alhamdulillah, kita berjaya meluluskan seramai 1,391 pemohon," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang ingin tahu sejauh manakah tindakan yang diambil oleh kerajaan agar umat Islam di Malaysia tidak tertinggal dalam menyahut hasrat dan Gagasan Keluarga Malaysia khususnya dalam membantu usahawan Muslim dalam tempoh 100 hari yang terkesan dengan Covid-19.

Idris berkata, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan SME Bank menerusi program Keusahawanan Asnaf Ishraf 2.0 membantu 79 peserta yang menerima bantuan sebanyak RM10,000 dari SME Bank di samping latihan serta khidmat rundingan yang disediakan oleh pihak YaPEIM.

“Selain itu, Tabung Haji melalui program tanggungjawab sosial korporatnya membantu 1,620 peniaga kecil melibatkan kos RM810,000. Akhir sekali, YaPEIM juga telah memberikan latihan kepada 8,600 peserta untuk meningkatkan skala perniagaan mereka agar mereka dapat bersaing terutamanya di dalam suasana pandemik ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai usaha yang dilakukan untuk menjaga kebajikan imam dan guru takmir di seluruh negara, Idris berkata, kerajaan mengambil berat dan cakna berkenaan sumbangan imam dan takmir di negara ini.

Berikutan itu, katanya beberapa inisiatif terutama dari aspek kebajikan telah diberikan antaranya program pelindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM232.82 setahun sejak Mac 2021 dan insentif secara sekali bayar sebanyak RM500 kepada imam, bilal, noja masjid dan guru takmir.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa yang sama juga kita telahpun meningkatkan usaha dengan mengadakan kelas pengajian takmir secara dalam talian dan secara bersemuka di seluruh negara apabila kes Covid-19 menurun.

“Tahun depan Insya-ALLAH guru takmir akan ditambah 1,000 orang lagi untuk Jabatan Penjara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya. - Bernama