Menteri ramai namun mereka tidak tumpu kepada masalah rakyat: Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah menteri ramai namun mereka tidak memberikan tumpuan untuk selesaikan masalah rakyat terutamanya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tegasnya, ketika ini rakyat kian tertekan dengan pelbagai isu termasuk kenaikan harga barang namun tiada tindakan dan penyelesaian tegas daripada kerajaan setakat ini.

“Menteri boleh sebut ada masalah banyak, kartel, monopoli. Selesaikanlah masalah kartel dan monopoli. Kenapa tak ambil tindakan?

“Kenapa tidak ada keupayaan, kekuatan, kesediaan untuk mengambil tindakan kalau benar disebut menteri mengenai kartel dan monopoli.

“Kartel ini memang masalah, dalam semua hal, politik dan juga ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat pada selasa selepas jawapan lisan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam soalannya, Anwar minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan segera dan langkah-langkah efektif bagi jangka pendek, sederhana dan jangka panjang yang akan diambil oleh Majlis Tindakan Kos Sara Hidup untuk menangani krisis kenaikan harga barangan keperluan asas yang menimpa rakyat pada masa ini.

Begitupun, soalan tersebut dijawab Mustapa bagi mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan sedar bahawa akhir-akhir ini, harga bagi beberapa keperluan asas khusunya ayam, beberapa jenis sayur-sayuran dan ikan telah meningkat dengan ketara.

Artikel Berkaitan:

“Menyedari masalah ini, Perdana Menteri telah mengarahkan supaya semua Kementerian mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkaitan bidang tugas masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri pada 4 Disember lepas juga telah memberi kebenaran mengimport ayam bulat bersifat sementara (temporary measure) untuk menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan peruntukan RM262 juta bagi membantu peladang dan petani yang terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun. - Awani