Mesyuarat bincang kenaikan kos sara hidup Khamis ini

Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Khamis ini bagi membincangkan langkah menyeluruh menangani isu kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Memaklumkan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan jangka sederhana dan panjang akan dibentangkan oleh kementerian-kementerian berkenaan pada mesyuarat itu.

“Antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan pergantungan kepada import, kos kepada input makanan, isu buruh asing, skim subsidi, geran dan pinjaman mudah, pengangkutan dan logistik, teknologi pertanian dan penyelidikan serta pembangunan (R&D),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai tindakan segera dan langkah efektif jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup bagi menangani krisis kenaikan harga barangan keperluan asas yang menimpa rakyat ketika ini.

Mustapa berkata, kerajaan sedar harga keperluan asas khususnya ayam dan beberapa jenis sayur dan ikan meningkat dengan ketara akhir-akhir ini, dan kerajaan juga amat prihatin tentang masalah yang dihadapi rakyat berikutan kenaikan harga itu terutama kumpulan B40 dan M40.

Justeru, Perdana Menteri telah mengarahkan semua kementerian mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkaitan mengikut bidang tugas masing-masing.

Selain itu, pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri turut membuat pengumuman untuk memberi kebenaran mengimport ayam bulat bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran, serta peruntukan RM262 juta untuk membantu peladang dan petani terjejas akibat kenaikan harga baja dan racun.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat pengumuman pada 30 November bagi menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara serta memulakan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan lebih awal menjelang perayaan Krismas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustapa berkata, Jabatan Perangkaan yang memantau indeks harga pengguna secara bulanan juga diarahkan membuat pemantauan harian beberapa keperluan asas dan melaporkan trend perubahan harga barangan berkenaan kepada kerajaan.

Melalui Bajet 2022, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM31 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif termasuk pemberian subsidi petrol RON95 dan diesel serta minyak masak dan tepung. - Bernama