Singapura sahkan dua kes import positif varian Omicron

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin mengesahkan varian Omicron dalam dua kes import pertama Covid-19 yang pada awalnya disyaki sebagai pembawa varian itu.

Dalam kemas kini harian mengenai Covid-19 malam Isnin, MOH memaklumkan pengesahan itu disusuli keputusan penjujukan genom keseluruhan untuk kes berkenaan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional republik itu.

“Kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom ringan, batuk dan tekak gatal. Mereka diasingkan sebaik tiba di Singapura pada 1 Disember dan tidak berinteraksi dengan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

MOH pada 2 Disember lalu mengumumkan ia mengesan dua kes import Covid-19 yang dilabel sebagai Kes 271487 dan 271598 yang positif dalam ujian awal untuk varian itu.

Kedua-dua kes itu tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember.

Pada Ahad (5 Dis) MOH mengesan satu lagi kes import Covid-19 yang positif ujian awal untuk varian Omicron.

Kes itu berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes pertama.

Sehingga 5 Disember, bilangan individu lengkap vaksin atau menerima dua dos vaksin Covid-19 adalah 96 peratus daripada populasi yang layak di negara itu.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 87 peratus populasi negara itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 28 peratus menerima suntikan penggalak.

Sehingga Isnin (6 Dis), Singapura melaporkan 269,873 kes Covid-19 dengan 763 kematian. - Bernama