Kebun musang king antara penyebab gangguan bekalan air di Bilut

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kebun durian musang king dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan gangguan bekalan air dalam kawasan Bilut di Bentong, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, loji rawatan air (LRA) di situ terpaksa menghentikan operasi apabila kekeruhan air mentah di Sungai Bilut tinggi selepas hujan lebat yang akhirnya mengakibatkan penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air.

"Saya rasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut mesti tahu air tidak akan keruh semulajadi... mesti ada penyebabnya dan di Bilut, kebun musang king sedikit sebanyak menjejaskan air di kawasan itu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu tindakan diambil bagi mengatasi masalah ganggguan bekalan air di Bilut yang berlaku selepas hujan lebat akibat kekeruhan air sungai.

Antara penyelesaian yang dilakukan, menurut Wan Rosdy ialah penambahbaikan LRA Sungai Bilut yang antara lain melibatkan kerja pembinaan tangki pra-enapan yang dijangka siap tahun depan.

Sementara itu, menjawab soalan Razali Kassim (BN-Muadzam Shah) mengenai jumlah pelaburan yang dibawa masuk antara Mac 2020 hingga September lalu, Wan Rosdy berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM6.751 bilion untuk 2020.

Daripada jumlah itu, RM4.319 bilion ialah pelaburan langsung asing manakala untuk tahun ini, setakat Jun lalu jumlah pelaburan tempatan ialah RM441 juta dan RM508 juta bagi pelaburang asing dengan kedua-duanya bakal menambah peluang pekerjaan di Pahang. - Bernama

Artikel Berkaitan: