Kanak-kanak Malaysia kurang zat

A
A

Ibu bapa perlu mainkan peranan penting bagi menangani permasalahan ini

NUTRISI memainkan peranan signifikan dalam perkembangan pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak.

Justeru, diet seimbang dan berkhasiat yang membekalkan segala nutrien sangat diperlukan bagi membantu menyokong perkembangan anak-anak kecil ini.

Namun, beberapa dapatan kajian daripada pertubuhan antarabangsa dan tempatan menunjukkan kanak-kanak Malaysia masih kurang mendapat nutrisi dan zat mencukupi.

Mengapa hal ini terjadi? Adakah mereka ini terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah sahaja seperti yang dimomokkan?

Wawancara yang dijalankan Sihat:Aktif bersama pakar nutrisi bertauliah menemukan satu pandangan berbeza yang pasti membuatkan anda berfikir sejenak. Kami juga mendapatkan jawapan adakah kanak-kanak kurang nutrisi tidak pintar dalam pembelajaran?

Isi temu bual kami menghuraikan satu persatu persoalan itu.

Kanak-kanak obes kurang nutrisi

BEBERAPA laporan daripada badan antarabangsa mengenai keperluan nutrisi sungguh membimbangkan. Berikut ialah dapatan-dapatan kajian sahih:

- Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia berusia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut.

- Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) tahun lalu pula melaporkan kes kalangan kanak-kanak miskin bandar iaitu seramai 23 peratus golongan itu mengalami masalah tumbesaran terbantut. Manakala 15 peratus pula berdepan masalah kurang berat badan.

- Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) pula menyebut, kadar kanak-kanak yang tumbesarannya terbantut meningkat daripada 17 peratus pada 2006 kepada 20.7 peratus pada tahun 2016 iaitu kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak. Selain itu, bagi tempoh sama, kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan juga meningkat daripada 12.9 peratus kepada 13.7 peratus.

-Berdasarkan Kajian Nutrisi Kanak-kanak Malaysia (SEANUTS Malaysia), satu daripada tiga keluarga Malaysia kekurangan nutrisi penting terutamanya vitamin C, zat besi dan kalsium.

Daripada fakta-fakta di atas, ia dengan jelas menunjukkan isu kanak-kanak Malaysia kekurangan nutrisi agak serius.

Kita perlu akui hakikat pemakanan baik berupaya mengekalkan kesihatan mental dan fizikal yang mendorong kepada perkembangan tubuh badan sihat terutama seawal dari kandungan ibu lagi.

Menjadi satu perkara wajib bagi setiap keluarga memberi suapan gizi seimbang kepada anak-anak dalam kuantiti yang tepat agar mereka membesar sempurna. Kita juga mahu anak-anak kecil ini terbiasa pola hidup sihat pada masa sekarang dan akan datang.

Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak agar sentiasa menikmati makan makanan yang seimbang setiap hari.
Ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak agar sentiasa menikmati makan makanan yang seimbang setiap hari.

Bukankah ‘generasi kurang nutrisi’ ini juga nanti yang akan menjadi pewaris negara?

Sebenarnya, apa yang dimaksudkan dengan makanan mempunyai bernutrisi atau seimbang ini? Secara faktanya, ia merujuk kepada hidangan bagi waktu makan utama yang mengandungi kumpulan makanan penting seperti:

- Suku pinggan makanan dari kumpulan karbohidrat (nasi, bihun, mi, roti).

- Suku pinggan makanan kumpulan protein (lauk-pauk).

- Separuh pinggan makanan daripada kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan yang mana kumpulan-kumpulan makanan di atas dimakan dalam jumlah yang mencukupi dan tidak berlebihan.

- Tidak dilupakan minuman dan produk tenusu (minuman kultur, yogurt) yang mana penting untuk sumber protein dan kalsium kanak-kanak.

Kebiasaannya juga, kita hanya mengaitkan kanak-kanak kekurangan nutrisi dengan faktor sosio-ekonomi keluarga yang kurang pendapatan.

Namun, fakta sebenar yang dikongsi Pakar Pemakanan Kanan Nestlé Malaysia, Nurul Iliani Ahmad ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pembaca Sihat:Aktif.

Menurut Nurul Iliani, data NHMS pada masa ini menunjukkan bukan hanya satu perkara menyumbang ke arah pemakanan yang tidak mencukupi.

“Ia juga merujuk kepada apa yang diperhatikan oleh ‘kanak-kanak dewasa’. Apa yang mereka lihat dan biasa, mereka akan aplikasikan. Contohnya, bila rumah mereka sudah biasa tidak makan sayur, mereka akan fikir kenapa di luar kena makan sayur. Jadi, ia sangat bergantung juga pada faktor persekitaran.

“Orang dewasa pula akan berpelakuan demikian jika terlalu terima banyak informasi. Akhirnya apabila terlalu banyak info, mereka sering akan putus asa dan makan sahaja apa ada depan mata,” katanya.

Iliani
Iliani

Justeru pada penulis, ini bermaksud, isu kurang nutrisi bukan hanya berlaku pada golongan berpendapatan rendah, malah boleh ‘hinggap’ pada keluarga berada sekali pun!

Sikap & stigma

Apabila menyentuh soal sikap, ia merupakan perkara paling sukar diubah dalam hidup manusia.

Nurul Iliani berkata, apabila seseorang diberitahu betapa baik dan berkhasiatnya sesuatu makanan, individu yang terfikir bahawa ‘dirinya tidak biasa makan makanan itu’, dari segi penerimaan skor akan mulai menurun.

Itu sebab katanya, apabila sampai elemen seterusnya iaitu aplikasi, skor memang akan menurun secara drastik. Mungkin dari skor 80/90 boleh jadi sampai 30/40.

Pakar ini menyambung perbualan. Katanya, konsep yang perlu difahami tentang pemakanan sihat ialah aspek amalan dan keseimbangan.

“Pemakanan sekarang ada banyak variasi dan saiz hidangan. Contohnya, seseorang tiada keseimbangan tenaga disebabkan kekurangan aktiviti fizikal, namun, saiz (portion) makanan yang diambil kurang, itu satu contoh yang kurang baik,” katanya kepada Sihat:Aktif ketika ditemui dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

Seperkara, pandangan konvensional sering menyebut bahawa keluarga berpendapatan rendah dengan anak ramai lazimnya bermasalah memberikan anak-anak mereka nutrisi yang mencukupi. Benarkah?

Jelas Nurul Iliani, secara idealnya, pemakanan yang sihat adalah merujuk kepada ‘pinggan yang sihat’ yang mengandungi suku hidangan karbohidrat, suku protein dan separuh hidangan sayur-sayuran.

“Walaupun daripada keluarga kurang pendapatan, kalau dibekalkan pengetahuan secukupnya, kita boleh bantu mereka capai pemakanan yang baik. Paling penting kena faham maksud makanan sihat, tak semestinya mahal.

“Sebenarnya, nasi putih, telur, kalau campur sawi juga dikira hidangan seimbang kerana telah ada protein, karbohidrat, dan sayur,” terangnya.

Laporan Unicef menunjukkan harga barang makanan yang tinggi telah menghalang keluarga dalam menyediakan makanan sihat kepada anak-anak.
Laporan Unicef menunjukkan harga barang makanan yang tinggi telah menghalang keluarga dalam menyediakan makanan sihat kepada anak-anak.

Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang duduk di luar bandar? Fakta ini tidak dinafikan pakar berkenaan ekoran kajian NHMS menunjukkan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, masalah kekurangan nutrisi memang berlaku.

Kategori bawah 18 tahun (yang tinggal di bandar) pula berdepan dengan masalah kes berat badan tidak seimbang dengan ketinggian.

“Isu ini (kurang nutrisi) tidak hanya menjurus berlaku di luar bandar sahaja. Hanya stigma kita yang fikir begitu, mereka di bandar juga berdepan isu nutrisi,” katanya.

Pun demikian, dengan inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan, perkara ini masih terkawal.

Malah ujar beliau, pihak kementerian juga banyak menyediakan inisiatif. Antaranya pemeriksaan darah atau perundingan nutrisi di klinik imunisasi.

Obesiti, anak tidak pintar?Hah, jangan tak percaya, kanak-kanak berdepan masalah obesiti atau disebut obes juga dikaitkan dengan kurang nutrisi.

“Dalam erti kata lain, pemakanan mereka mempunyai tinggi nilai kalori dan rendah nutrisi seperti vitamin dan mineral,” kata Nurul Iliani.

Turut mengulas persoalan obes ini ialah Pakar Pemakanan, Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Laila Fadhilah Omar.

Laila
Laila

Laila sependapat dengan Nurul Iliani. Katanya, perkara ini dikenali sebagai malnutrisi iaitu ketidakseimbangan antara pengambilan makanan dengan keperluan nutrisi yang diperlukan oleh badan.

Terdahulu, beliau menyifatkan, tiada kajian yang mendalam mengenai masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia, biarpun ada kajian yang dibuat Unicef seperti diterangkan pada awal artikel ini tadi.

Meskipun demikian, beliau tidak menafikan kekurangan nutrisi sering dikaitkan dengan kekurangan berat badan.

“Tiada faktor spesifik mengenai punca masalah kekurangan berat badan ini berlaku.

"Ini adalah kerana masalah ini bukan sahaja berpunca daripada kekurangan nutrisi, malah faktor kesihatan dan emosi juga boleh menjadi pendorong kepada berat badan berkurangan,” katanya.

Jika Nurul Iliani ada memberi maklum balas tentang ‘teori mengatakan bahawa kanak-kanak kurang nutrisi tidak pintar’, dengan mengatakan bahawa tiada kesimpulan yang kukuh terhadap penyataan itu.

Bagi Laila pula, tahap kepintaran seseorang adalah sangat subjektif.

"Namun, kekurangan nutrisi secara tidak langsung boleh mempengaruhi tahap kognitif seseorang terutamanya kanak-kanak yang sedang membesar,” kata beliau laho.

Laila juga yakin, keluarga berpendapatan rendah tidak sama sekali akan berhadapan dengan masalah nutrisi kerana kelompok ini sering mendapat perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk program dan bantuan kesihatan.

Perkembangan kognitif, kebolehan fizikal kanak-kanak boleh terencat

TANDA-TANDA kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi ialah berat badannya tidak bertambah mengikut skala tumbesaran dalam carta graf berat, tinggi/ panjang, body mass index dan ukuran lilitan kepala.

Itu penerangan Pakar Pediatrik Pusat Rawatan Pakar Kanak-Kanak Adda, Dr Hairin Anisa Tajuddin.

Dr Hairin Anisa berkata, selain berat badan, bayi kurang nutrisi sama ada kurang kalori atau kurang zat besi (iron deficiency), perkembangan ototnya juga tidak mencapai piawaian yang tertentu mengikut umurnya.

“Contohnya, pada umur 9 bulan, bayi patut boleh duduk dengan sendiri dan stabil tapi jika kekurangan nutrisi berkemungkinan belum mencapai kepandaian untuk duduk.

“Malah, jika bayi kekurangan zat besi, mereka akan kurang aktif, akal kurang cerdas, otot lemah serta sistem imun juga tidak kuat. Hal ini disebabkan zat besi sangat penting untuk pembinaan sel darah yang cukup dan matang untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh badan bagi menjalankan pelbagai proses metabolisma,” katanya kepada Sihat:Aktif.

Jelas beliau lagi, bayi yang kurang nutrisi juga akan kelihatan pucat, kerap jatuh sakit dan degupan jantungnya menjadi lebih laju.

Kekurangan zat zink juga punca bayi kerap jatuh sakit, ujar pakar tersebut.

Katanya lagi, masalah kekurangan nutrisi kanak-kanak boleh dikesan setelah bayi berusia 6 bulan ke atas yang mana bayi sepatutnya mula diberikan makanan pelengkap.

“Selepas 6 bulan, kanak-kanak perlukan pertambahan kalori serta semua zat makanan sama ada makronutrien atau mikronutrien mencukupi untuk pastikan tumbesaran optima,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang semakin aktif ini memerlukan zat makanan seimbang bukan sekadar untuk menambah berat, tetapi untuk mencukupi keseluruhan fungsi metabolisme tubuhnya supaya perkembangan otaknya cerdas, sistem imunnya kuat dan perkembangan ototnya yang mengikut umur.

Ini tip daripada beliau. Berikan anak makanan dahulu sebelum memberikan susu untuk mengelakkan mereka menolak makanan akibat perut sudah kenyang.

Dalam pada itu, Pensyarah di Pusat Pengajian Makanan dan Dietetik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Syahrul Bariah Abdul Hamid dalam perkongsiannya berkata, kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah yang kurang mengambil makanan bernutrisi juga boleh merencatkan perkembangan kognitif dan kebolehan fizikal.

Beliau menekankan, lima tahun pertama, fasa tumbesaran kanak-kanak mendapatkan nutrisi yang cukup bagi menjamin tumbesaran fizikal yang sempurna seperti memperoleh gigi yang kuat dan bebas daripada penyakit osteoporosis, sangat penting. -AG

ANEKDOT

Akibat kekurangan nutrisi:

- Tubuh tidak dapat jalankan fungsi dengan baik, alami gangguan kesihatan serius.

- Mudah penat, hilang fokus, kemurungan, mudah terkena infeksi kerana penurunan sistem kekebalan tubuh.

- Tabiat gaya hidup yang sibuk seperti waktu makan tidak teratur, kurang tidur, tekanan, jarang bersenam akibat terlalu letih dan sibuk bekerja boleh menyumbang kepada kekurangan nutrisi.

Bantuan buat anak kurang nutrisi:

- Ibu bapa jangan cepat putus asa. Mencuba sekali dua masih tidak mencukupi, setidak-tidaknya cuba 10-15 kali bagi setiap makanan baru kepada anak-anak.

- Jika anak tidak menyukai makanan atau minuman pada pertama kali diperkenalkan, janganlah terus menghukum. Tunjukkan contoh dalam suasana yang positif.

- Ibu bapa main peranan pantau secara konsisten carta pertumbuhan dan perkembangan anak.

- Bukan saja kerajaan seperti makanan tambahan (RMT) dan program susu di sekolah, jika industri ada keupayaan patutlah memberi sokongan juga.