X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Lalui pengalaman 'makan di dalam kelas Sejarah' di Muar

Premis itu tidak ubah seperti kedai antik menerusi susunan pinggan mangkuk lama di dalam almari kaca, selain mural Laksamana Cheng Ho mengalu-alukan ketibaan pengunjung. - Foto Bernama
A
A

MUAR - Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki di pekan Muar pasti tidak akan terlepas pandang sebuah bangunan kedai berwarna kuning terang yang terletak di Jalan Sisi.

Terpampang di papan tanda “Muar Historia”, sepintas lalu premis itu tidak ubah seperti kedai antik menerusi susunan pinggan mangkuk lama di dalam almari kaca, selain mural Laksamana Cheng Ho mengalu-alukan ketibaan pengunjung.

Namun jangan terpedaya dengan dekorasi itu kerana premis berkenaan sebenarnya sebuah restoran yang menawarkan pelbagai hidangan yang sinonim dengan Johor selain menjadi antara katerer kegemaran keluarga diraja Johor.

Uniknya, menikmati hidangan seperti mi bandung Muar, mi rebus dan lontong di Restoran Rabbit Home Muar Historia ini umpama “makan di dalam kelas sewaktu pembelajaran subjek Sejarah”.

Ini kerana setiap inci dinding restoran itu dihiasi mural dan tulisan berinformasi tentang sejarah Muar bagi tempoh 1800 hingga 2000, selain susunan barang antik, artifak dan gambar hitam putih tokoh-tokoh ketika era Kesultanan Melayu Melaka memenuhi segenap ruang.

Mengulas dekorasi restorannya yang seakan-akan muzium, James Teo Peng Heng, 45, berkata, dia mahu berkongsi sejarah Muar dengan pelanggan.

“Kita tiada muzium di Muar, jadi dengan mengubah suai restoran ini menjadi tempat menimba ilmu sambil menjamu selera bukan sahaja menawarkan satu kelainan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan,” katanya.

Menurutnya, dia mengubah suai restoran yang diusahakannya sejak 2002 itu pada 2014 selepas satu pertemuan dengan pengumpul barangan bersejarah di Melaka yang “membuka matanya” selaku peminat sejarah dan pengumpul barang antik.

TIGA BULAN SIAPKAN LUKISAN DI DINDING

“Ketika kunjungan itu, saya tertarik dengan satu barang antik dan berminat untuk membelinya, namun si pemilik enggan menjual,” katanya, membuka cerita.

James berkata, si pemilik bertanyakan tujuannya mahu membeli artifak berkenaan dan dia gagal memberikan jawapan yang baik sedangkan barang tersebut mempunyai nilai yang tidak terhingga dari segi sejarah.

“Saya (cuma) melihat barang itu sebagai sangat menarik, nampak sangat bersejarah dan mahu membawanya balik. Si pemilik kemudian berpesan kepada saya agar mengenali minat saya dan kemudian memperluas minat tersebut untuk membantu lebih ramai orang di luar sana.

"Ketika itu saya sedar bahawa minat saya lebih kepada meneroka sejarah kerana saya sering tertarik dengan barang-barang bersejarah yang mempunyai seribu satu makna dan cerita di sebaliknya,” ujarnya.

Dia berkata dari situ juga terdetik di hatinya untuk memberikan kelainan terhadap restoran yang diusahakannya, selain memperkenalkan makanan warisan Muar kepada pelanggan.

"Saya menghabiskan masa hampir setahun untuk mengumpul data dan maklumat mengenai sejarah Muar dengan merujuk kepada Arkib Negara, persatuan-persatuan sejarah dan muzium, sebelum mengabadikan fakta tersebut di dinding restoran saya,” ujarnya, menambah usahanyaa turut dibantu oleh Persatuan Historia Muar Cultural Work.

Katanya sejarah Muar itu dipaparkan secara kronologi, bermula dengan ketibaan Parameswara hinggalah ke zaman Kesultanan Melayu Johor termasuk era pemerintahan Sultan Johor terkini Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurutnya, Muar merupakan titik permulaan dan pengakhiran Kesultanan Melayu Melaka yang bermula dengan ketibaan Parameswara di daerah itu selepas melarikan diri dari Temasek.

"Parameswara bertapak di sini dan terlebih dahulu cuba membina petempatan di Kota Biawak Busuk dan Kota Buruk di daerah ini. Selepas beberapa lama, Parameswara dan pengikutnya kemudian berpindah dan membina kota baharu daripada timbunan tanah dan kayu di satu kawasan yang kini dikenali Kampung Tanjung Selabu, Mukim Sungai Terap,” cerita James.

Dia berkata, Kota Biawak Busuk itu masih wujud dan sarang biawak yang dikatakan terletak di jeti sungai di mana Parameswara bertapak ketika tiba di sini juga masih ada.

Cerita beliau lagi, Sultan Mahmud Shah yang merupakan sultan terakhir Kesultanan Melaka, berundur ke Muar selepas empayar Melaka jatuh ke tangan penjajah pada Ogos 1511.

“Malah, Muar satu-satunya daerah di Johor yang ada makam seorang Sultan Melaka yang masih utuh, iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh, selepas makam-makam lain hancur dimusnahkan oleh Portugis,” katanya.

BANGGA DENGAN ASAL-USUL KAMPUNG HALAMAN

Sebagai anak jati Muar, Jamses berasa bangga kerana dapat memperkenalkan sejarah kampung halamannya kepada pelancong tempatan dan juga luar negara, khususnya dari Jepun dan China.

Menurutnya, restoran beliau adalah lokasi persinggahan wajib pengunjung luar, terutama pencinta sejarah.

“Ramai yang tidak tahu bahawa tarian naga yang pertama kali dimainkan oleh kaum Cina berasal dari daerah ini. Malah tarian zapin dan ghazal juga sangat sinonim dengan Muar.

"Ada pengkaji sejarah dari Jepun dan China pernah datang dan menjadikan restoran ini sebagai rujukan mereka tentang sejarah Melayu," katanya, menambah usahanya itu turut dipuji oleh pengunjung.

“Ada yang berkata berkunjung ke restoran ini mengingatkan mereka tentang zaman persekolahan selain memperoleh pengetahuan baharu,” tambah beliau lagi.

MAHU MUAR DIIKTIRAF TAPAK WARISAN UNESCO

Mengulas perancangan masa depan, James berkata, dia berhasrat menaikkan status Muar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kertas cadangan sudah disediakan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Warisan Negara bagi memohon pengiktirafan itu, katanya yang bagaimanapun mengakui usaha tersebut memerlukan kerjasama banyak pihak untuk dijayakan.

“Bagi saya, memang wajar Muar diiktiraf sebagai antara bandar warisan dunia kerana banyak tinggalan sejarah di sini.

“Selain itu, Muar juga menampilkan keharmonian kebudayaan dan warisan tiga bangsa utama di negara ini, iaitu Melayu, Cina dan India,” jelasnya.

Menurut James, dia juga mahu mengetengahkan Muar sebagai sebuah bandar yang dapat memupuk perpaduan menerusi tinggalan warisan pelbagai kaum, seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!