Bantuan perlu ditambah baik bantu golongan tercicir pelajaran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUSULAN pendedahan mengejutkan daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik pada Ahad mengenai 21,315 pelajar yang dilaporkan telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 sehingga Julai tahun ini, menimbulkan pelbagai persoalan terhadap isu berkenaan.

Faktor kemerosotan ekonomi sudah tentu menjadi antara punca utama kepada berlakunya permasalahan tersebut dalam negara ini.

Nasib rakyat yang dipinggirkan seperti ini tidak boleh diabaikan oleh pihak-pihak berkepentingan terutamanya kerajaan kerana mangsanya adalah golongan kanak-kanak yang merupakan generasi baharu dalam ‘Keluarga Malaysia’ pada masa depan.

Ini bermakna bahawa kesukaran hidup rakyat terutamanya golongan B40 memberi kesan jangka panjang kepada hala tuju anak-anak mereka, kerana mereka akan ketinggalan dari segi akademik dan menyebabkan mereka jauh ketinggalan dengan rakan-rakan lain.

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berpandangan bahawa bantuan ekonomi yang diberikan kepada golongan B40 wajar digandakan bagi menyelamatkan murid daripada terus tercicir dalam persekolahan.

Ujar beliau, bantuan tersebut perlu dipertingkatkan lagi ekoran pandemik Covid-19 telah menjejaskan mata pencarian rakyat.

Katanya, kesusahan yang dialami oleh rakyat seperti ada ibu bapa yang hilang pekerjaan, bisnes pula ‘bungkus’ dan gaji kena potong menyebabkan mereka tidak mampu untuk hantar anak-anak ke sekolah.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan jumlah keciciran murid tahun 2018 lebih tinggi berbanding 2020 dan 2021.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, bagi Mac sehingga Disember 2020, murid yang berhenti sekolah adalah seramai 11,301 orang.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 orang murid direkodkan berhenti sekolah manakala jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan pada Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang.

Jelasnya, berbanding tahun 2018, jumlahnya adalah 34,074 orang dan ia lebih tinggi berbanding tahun selepasnya.

Namun begitu, perdebatan mengenai angka pada tahun mana yang lebih tinggi perlu diketepikan terlebih dahulu.

Kesejahteraan rakyat perlu diutamakan terlebih dahulu dan kerajaan memainkan peranan yang amat kritikal dalam memastikan usaha terbabit ditingkatkan pada masa akan datang.