Bayi empat minggu perlu lagi RM60,000 kos bedah jantung

Raisya Zameena kini mendapatkan rawatan di HPP.
Raisya Zameena kini mendapatkan rawatan di HPP.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bayi perempuan berusia empat minggu memerlukan sumbangan ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM60,000 untuk menampung kos pembedahan jantung kongenital dialaminya.

Raisya Zameena Abdul Rashid yang dilahirkan pada 4 November lalu tidak mempunyai sebarang gejala ganjil dan dibenarkan pulang ke rumah namun bayi itu mengalami kekuningan pada hari keempat hingga ke-10 selepas itu.

Bapanya, Abdul Rashid Abd Latif, 31 berkata, walaupun mengalami jaundis, hasil pemeriksaan doktor mendapati anaknya tidak menunjukkan serang gejala lain yang tidak diingini.

"Selepas 18 hari dilahirkan, Raisya dikesan mempunyai gejala bibir menjadi ungu dan kadar pernafasan yang tidak normal.

"Melihat keadaan itu, kami mengesyaki Raisya mungkin mempunyai masalah jantung berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sebagai kakitangan perubatan dan tanpa berfikir banyak kami telah menghantar Raisya ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan," katanya di sini pada Isnin.

Abdul Rashid berkata, doktor bertugas mendapati keadaan Raisya memerlukan perhatian lanjut daripada pakar perubatan sebelum anaknya itu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dengan ambulans.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan bayinya itu mempunyai masalah kecacatan jantung seperti pembuluh darah aorta dan pulmonari arteri bertukar tempat dan keluar dari vertical secara salah dan aortic terputus.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rashid (kiri) dan Zuraikha (dua dari kiri) ketika mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity & Welfare.
Abdul Rashid (kiri) dan Zuraikha (dua dari kiri) ketika mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity & Welfare.

Bagi merawat masalah yang dihadapi anaknya itu, Abdul Rashid berkata, beliau diminta untuk menyediakan kos pembedahan sebanyak RM110,000 namun beliau hanya mampu menyediakan sebanyak RM50,000 wang simpanan.

Susulan itu, Abdul Rashid telah meminta bantuan daripada badan amal One Hope Charity & Welfare bagi mengumpul lagi RM60,000 derma daripada orang ramai untuk menyelamatkan nyawa anaknya.

Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pakar jantung di HPP mengesahkan Raisya perlu menjalani pembedahan dalam masa enam minggu selepas lahir untuk menyelamatkan nyawanya.

Beliau berkata, bayi berkenaan adalah anak sulung Abdul Rashid yang merupakan kakitangan perubatan manakala isterinya Zuraikha Azrin Azmi, 28, pula hanya suri rumah.

"Selepas membuat beberapa pengesahan, One Hope Charity & Welfare mengambil keputusan untuk mengutip dana daripada orang awam dan menguruskan pembedahan Raisya," katanya.

Mereka yang ingin membuat sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun One Hope Charity & Welfare, Public Bank Berhad di nombor akaun 3193433435.