Pertahan iltizam pewaris legasi pertanian negara

Kerajaan perlu mendengar segera rintihan pekebun, peladang dan penternak dalam mencari penyelesaian kenaikan mendadak harga input pertanian serta makanan haiwan untuk jangka masa panjang. - Foto Bernama
Kerajaan perlu mendengar segera rintihan pekebun, peladang dan penternak dalam mencari penyelesaian kenaikan mendadak harga input pertanian serta makanan haiwan untuk jangka masa panjang. - Foto Bernama
A
A
A

EPISOD tuding menuding berlaku ketika Malaysia berdepan isu harga barang naik terutama harga makanan asas.

Pengguna salahkan peniaga dan kerajaan, kerajaan salahkan orang tengah dan cuaca, orang tengah salahkan kos sara diri semakin meningkat dan inflasi, manakala golongan petani dan penternak pula salahkan harga input pertanian dengan masalah nilai mata wang negara jatuh.

Di sebalik drama menjengkelkan itu, terdapat 1,001 persoalan masih belum terjawab. Misalnya, mengikut rekod kadar kebergantungan import makanan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020, bekalan ayam mentah sebenarnya hampir mencapai tahap melebihi keperluan (surplus of demand) iaitu 95.8 peratus.

Begitu juga telur ayam, yang menunjukkan negara hanya memerlukan import 0.004 peratus untuk keperluan rakyat Malaysia bagi tahun sama.

Jadi, bagaimana harga bekalan ayam dan telur ayam di pasaran domestik semakin mahal? Adakah dakwaan manipulasi orang tengah benar-benar berlaku?

Jika diteliti semula, penulis mendapati setiap rantaian pengeluaran dan perbekalan makanan asas itu berdepan masalah tersendiri.

Bermula dengan penternak yang berdepan masalah kenaikan harga makanan haiwan dan input penternakan yang menjangkau lebih 200 peratus ketika ini.

Masalah mereka semakin parah apabila kerajaan mengambil pendekatan melambakkan ayam import sejuk beku atas keperluan menstabilkan harga.

Artikel Berkaitan:

Ya, memang benar langkah itu mampu menstabilkan harga untuk jangka masa pendek tetapi apabila inisiatif pengeluaran permit import pertanian (AP) sentiasa menjadi pilihan kerajaan, maka yang akan terkesan teruk ialah penternak apabila berlaku lambakan produk kelak.Begitu juga pekebun sayur.

Pengasas Malaysian Agropreneur Network, Amy Ashraff Suriadi mengakui masalah sama juga dihadapi golongan berkenaan yang berdepan kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun.

Sebagaimana nasib penternak ayam, sekiranya kaedah lambakan sayur import juga dipraktikkan atas alasan menstabilkan harga sayur, maka ramai pekebun sayur dijangka ‘gulung tikar’ apabila prestasi hasil pertanian mereka mencapai tahap memberangsangkan sekitar Mac tahun depan.

Begitu juga orang tengah. Bukan semua dalam kalangan kelompok itu bersifat cekik darah dan mementingkan diri.

Kita tidak boleh menafikan kepentingan golongan berkenaan yang membantu memastikan urusan pengedaran bagi setiap rantaian pengeluaran dan pengedaran produk makanan asas berjalan lancar.

Cuma, jika kerajaan mahu kembalikan semula slogan ‘Jihad Perangi Orang Tengah’ yang pernah dijulang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) sekitar 2013 hingga 2015, beliau harus berani membendung dan mengawal peranan orang tengah dalam struktur pasaran oligopsoni atau oligopoli.

Struktur pasaran itu melibatkan pemborong yang membeli daripada ramai petani dan dijual pula kepada ramai peruncit. Melalui struktur itu, pemborong yang berada dalam kelompok berkenaanlah yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi dan menentukan harga pasaran.

Kerajaan juga perlu mendengar segera rintihan pekebun, peladang dan penternak dalam mencari penyelesaian kenaikan mendadak harga input pertanian serta makanan haiwan untuk jangka masa panjang.

Beberapa pakar sekuriti makanan negara mengakui Malaysia mengimport sepenuhnya makanan haiwan seperti dedak dan palet dari luar negara terutama Argentina dan Amerika Syarikat sebab kos menghasilkannya dianggap lebih mahal berbanding mengimport.

Satu lagi masalah besar yang perlu difikirkan kerajaan ialah kebimbangan Malaysia bakal menjadi negara tua dan diduduki majoriti rakyat berusia 60 tahun ke atas pada 2030 berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Negara.

Justeru, sukar untuk menyelesaikan masa sekuriti makanan negara jika tiada kesungguhan politik untuk mengukuhkan daya saing sistem rantai pengeluaran serta perbekalan makanan asas rakyat.

Namun persoalan paling penting ialah nasib golongan petani muda yang mewarisi industri pertanian akan terus mengalami kerugian dan terkesan dengan langkah pengeluaran AP pertanian secara tidak terkawal.

* Khairil Anwar Mohd Amin ialah wartawan Sinar Premium