Fokus persiapan Kuala Lumpur 2023

Skuad hoki remaja negara mengakhiri saingan Piala Dunia Remaja Bhubaneswar 2021 di kedudukan lapan kejuaraan tersebut. Gambar kecil: Vikneswaran
Skuad hoki remaja negara mengakhiri saingan Piala Dunia Remaja Bhubaneswar 2021 di kedudukan lapan kejuaraan tersebut. Gambar kecil: Vikneswaran
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara akan menggunakan pengalaman meraih kedudukan lapan terbaik edisi Bhubaneswar 2021 sebagai persiapan mengharungi kempen Kuala Lumpur 2023 bagi saingan kejuaraan Piala Dunia Remaja tersebut.

Malah menurut pengurus skuad negara, I Vikneswaran, skuad kendalian Wallace Tan telah memberikan persembahan terbaik berdasarkan persiapan sebelum itu yang sedikit terjejas dengan situasi Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini.

Jelasnya lagi, pasukan telah berjaya melepasi sasaran ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini iaitu mara ke suku akhir kejuaraan tersebut.

“Skuad 2021 kali ini juga pun mempamerkan karakter cukup luar biasa apabila terpaksa mengharungi norma baharu sebelum ini yang secara keseluruhannya telah memberikan saingan yang terbaik pada kempen kali ini.

“Sekiranya dilakukan analisis kesemua gol yang dijaringkan pasukan lawan sepanjang kempen ini merupakan hasil daripada pukulan sudut penalti dan gol daripada minit awal dan penghujung suku perlawanan.

“Ini terbukti para pemain muda negara ini sudah berada pada satu tahap membanggakan apabila mampu menyaingi gergasi hoki seperti Perancis dan Sepanyol. Namun pada masa sama masih terdapat kelemahan yang perlu diberikan perhatian dan penambahbaikan menjelang kejuaraan Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Jelas Vikneswaran lagi, perbezaan skuad remaja negara dengan pesaing lain di saingan Piala Dunia Remaja kali ini tidak berapa jauh, malah para pemain negara sudah mampu menyaingi lawan mereka.

“Sekiranya skuad kita tidak mampu memberi tentangan sudah tentu kebanyakan gol yang kita lepaskan sepanjang kempen Piala Dunia Remaja Bhubaneswar ini adalah dari gol padang tapi sebaliknya gol pukulan sudut penalti.

Artikel Berkaitan:

“Contoh ketika menentang Perancis, kita hanya bolos kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti dan bukannya gol padang,” katanya.

Mengenai hala tuju 2022, Vikneswaran berkata, pencarian pelapis baharu akan dipergiatkan menerusi penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) yang bermula Disember bagi menambahbaik pengisian pemain untuk kejuaraan Kuala Lumpur 2023.

“Jadi Kuala Lumpur 2023 tidak hanya memerlukan perancangan lebih rapi tetapi juga tindakan segera dalam masa terdekat ini melibatkan semua pihak baik aspek pemilihan jurulatih, penolong jurulatih, pegawai dan pemain bagi membolehkan sepenuh tumpuan selepas itu diberikan dalam membentuk skuad yang mantap.” ujarnya.